Kementerian Kerja Raya diberi masa enam bulan sehingga Mei depan oleh Jemaah Menteri untuk mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol terhadap rakyat, kata menterinya Baru Bian.
Untuk itu, kementeriannya akan melantik juru perunding audit bebas bertauliah awal bulan depan bagi membantunya menganalisis data dan cadangan tersebut.
“Ini termasuklah mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
“Hasil kajian itu dijangka akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri pada bulan Mei 2019 nanti,” kata Baru dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengenai penangguhan kenaikan tol tahun depan serta pemansuhan tol ke atas motorsikal di tiga laluan mulai 1 Januari ini.
Semalam, Lim mengumumkan pembekuan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya tol di seluruh negara yang sepatutnya dinaikkan tahun depan, serta tol bagi bas di lapan lebuh raya berasingan.
Kerajaan juga memansuhkan tol bagi motosikal di kedua-dua jambatan di Pulau Pinang dan Lebuh Raya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Januari ini.
Keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Disember lalu melibatkan anggaran kos RM994.43 juta, tambah Lim.
“Cadangan penangguhan kadar tol ini dilihat sebagai satu kaedah berterusan Kerajaan bagi mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat,” kata Baru.
Oktober lalu, Baru mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan komited mahu menghapuskan tol seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, namun keadaan kewangan negara pada masa ini tidak mengizinkan.