Bersatu tidak rasa bersalah untuk memperjuangkan agenda Bumiputera kerana pada parti itulah tempat orang Melayu berteduh dan berlindung, kata presidennya Muhyiddin Yassin.
Beliau memberi jaminan kepada orang Melayu bahawa parti itu akan terus membela nasib mereka.
“Jika hendak berteduh, berteduhlah di pohon yang rendang. Jika hendak berlindung, berlindunglah di teluk yang tenang.
“Kepada orang Melayu saya ingin memberi jaminan bahawa yang dimaksudkan dengan dahan yang kukuh, pohon yang rendang dan teluk yang tenang itu ialah Bersatu, ” katanya dalam ucapan dasar presiden membuka perhimpunan agung tahunan sayap Pemuda dan Wanita Bersatu di Putrajaya, malam ini.
“Bersatulah tempat untuk orang Melayu berpaut, berteduh dan berlindung,” tambahnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mencadangkan agar kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menerima agenda Bumiputera yang diperjuangkan parti itu sebagai agenda nasional dan dasar teras parti.
Jelas beliau, agenda perjuangan Bersatu yang bagaimanapun tidak mengetepikan kaum-kaum lain adalah satu dasar baharu yang akan dapat memajukan Melayu dan Bumiputera dengan seluruhnya.
“Agenda Bumiputera yang baharu ini akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama,” katanya, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Menurut Muhyiddin, dasar baharu itu akan memberi perhatian pada usaha mewujudkan kesamaan hasil dan bukan hanya kesamaan peluang sahaja, yang sebaliknya akan terus melebarkan jurang antara kaum, kelas dan wilayah.
“Yang membezakan Agenda Bumiputera baharu ini dengan yang lama ialah pelaksanaan.
“Kita akan pastikan pelaksanaannya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, telus dan bebas daripada amalan rasuah dan ketirisan,” katanya.
Ia juga akan dipantau sebuah badan yang ada kuasa eksekutif untuk memastikan matlamat dasar itu tercapai, tambah beliau.
Bagaimanapun Muhyiddin mengingatkan, orang Melayu tidak boleh menyerahkan segala-galanya kepada parti itu dan kerajaan kerana hanya mereka yang boleh mengubah nasib mereka sendiri.
Katanya, orang Melayu mesti mengubah sikap kerana bantuan kerajaan semata-mata tidak cukup untuk menjamin mereka berjaya.
“Kerajaan boleh menyediakan bantuan tetapi hanya diri kita sendiri yang mampu mengubah nasib bangsa kita,” katanya, sambil menyeru orang Melayu agar rajin berusaha, berdisiplin dan berani ambil risiko.
Perhimpunan agung tahunan ini adalah yang pertama sejak Bersatu dan tiga parti lain dalam PH jadi kerajaan di Putrajaya dan di beberapa negeri.
Selepas persidangan sayap Pemuda dan Wanita Bersatu pada sebelah siang esok, perhimpunan agung tahunan parti peringkat nasional akan bermula pada sebelah malam.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dijadual membuka perhimpunan dan menyampaikan ucapan dasarnya malam esok.
Perhimpunan agung tahunan Bersatu diadakan dua hari sehingga Ahad. – TMI