Peruntukkan waktu bagi pelajaran agama Islam di sekolah kebangsaan dan menengah sepatutnya ditambahkan lagi memandangkan waktu sedia ada amat sedikit dan tidak mencukupi.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, setakat ini waktu yang diperuntukkan untuk mata pelajaran itu adalah 69 jam di sekolah kebangsaan dan 128 jam di sekolah menengah.
“Peruntukan waktu sedia ada tidak mencukupi untuk memberi kefahaman yang komprehensif tentang asas ajaran agama yang diperlukan untuk pembentukan peribadi yang baik.
“Tidak dinafikan kepentingan subjek-subjek lain seperti Sains dan Matematik untuk lepasan sekolah berkenaan mendapatkan pekerjaan juga amat penting.
“Tetapi kita juga mesti faham bahawa pendidikan agama Islam juga sama penting atau lebih lagi diperlukan sebagai elemen utama bagi pengukuhan jati diri bangsa di samping menjadi benteng yang ampung bagi membendung masalah jenayah dan keruntuhan moral,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, cadangan kerajaan untuk mengkaji semula kurikulum dan silibus pelajaran sekolah kebangsaan dan menengah adalah wajar disokong.
“Namun biarlah kajian itu bersifat menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum ia dimuktamadkan dan dijadikan polisi untuk dilaksanakan di negara ini.