Sebagai Timbalan Presiden PKR, sepatutnya Datuk Seri Azmin Ali lebih peka mengenai kuasa mutlak yang ada pada Presiden untuk membuat pelantikan barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi MPN Negeri Perlis, Amran Kamarudin ketika ditemui selepas menerima borang penubuhan ranting baru PKR Kampung Kolam di Padang Besar petang semalam.
Jelas Amran lagi, sekiranya terdapat persoalan, maka ia boleh menggunakan saluran parti maupun mesyuarat tertutup.
“Seharusnya sebagai orang lama dalam parti, Azmin harus sedar bahawa membuat kritikan melalui media adalah bercanggah.
“Beliau tidak sepatutnya lupa selepas Kongres PKR baru-baru ini, luahan berkali-kali untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja tidak menjadi persoalan.
“Masih kuat dalam ingatan saya bahawa ia menzahirkan ucapan boleh bekerjasama dengan Rafizi demi untuk menguatkan parti,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu ujarnya, pelantikan yang telah dibuat oleh Presiden, tidak sepatutnya dipertikaikan seandainya ikhlas dan jujur untuk kepentingan dan masa depan parti
“Kita tidak mahu pemimpin yang bercakap lain semasa Kongres dan meluahkan ucapan yang lain pula selepas selesai Kongres.
“Maka itu sebagai Pengerusi MPN Perlis, disarankan supaya pertikaian ini dihentikan.
“Tidak harus ada serangan demi serangan sesama parti melalui media lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam MPP, ” katanya.
Tambah Amran lagi, pelantikan yang telah dibuat oleh Presiden di Ibu Pejabat Parti pada petang 28 Disember adalah mengikut peraturan parti.
“Saya hadir sebagai Pengerusi MPN Perlis pada masa dan tarikh tersebut serta melihat dengan jelas pelantikan yang dibuat turut membabitkan ‘team’ Azmin semasa pemilihan sebelum ini termasuklah Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju sebagai Naib Presiden.
“Tidak ada siapa yang boleh mempertikaikan apabila Presiden juga melantik mereka yang sering bersama Azmin semasa pemilihan yang lalu seperti Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr R.Santhara Kumar.
“Bukankah Presiden juga melantik mereka yang dekat dengan Azmin semasa pemilihan parti seperti Tian Chua yang dilantik sebagai Jawatankuasa Keanggotaan serta juga bekas Pengerusi MPN Pulau Pinang yang kini dilantik sebagai Pengarah Strategi, Datuk Dr Mansor Othman,” tanya beliau lagi.
Oleh kerana itu kata Amran, semua pimpinan tertinggi parti sehinggalah ke peringkat negeri, cabang dan juga ranting menyahkan segala persepsi dan prejudis buruk yang ada dalam sanubari masing-masing.
Yang jelas sarannya, ialah berusaha bersungguh-sungguh tanpa ada duri dalam daging yang akan memporak-perandakan parti yang telah berjaya mendapat dokongan sehingga menjadi pemerintah bersama Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang lalu. – MD