Kerajaan Pulau Pinang wajar memberikan diskaun sehingga 20 peratus kepada penduduk negeri ini yang menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Adun Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata, perkara itu harus dipertimbangkan sebagaimana yang diberikan kepada penduduk negeri ini yang menggunakan jambatan pertama Pulau Pinang.
“Apakah kerajaan negeri bercadang untuk memberikan diskaun sehingga 20 peratus kepada rakyat negeri ini yang menggunakan jambatan kedua Pulau Pinang?
“Seperti semua sedia maklum, rakyat negeri ini yang menggunakan jambatan pertama akan diberi keistimewaan apabila hanya perlu bayar RM5.60 berbanding RM7 bagi kelas pertama.
“Maka perkara sama juga wajar dipertimbangkan pihak kerajaan agar rakyat negeri ini dapat menikmati diskaun di jambatan kedua,” katanya kepada .
Menurutnya, cadangan itu secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kesesakan di jambatan pertama Pulau Pinang.
Setakat ini, kadar tol bagi kelas pertama di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah adalah RM8.50, manakala bagi motosikal sebanyak RM1.70.
Kenderaan kelas dua dan tiga, masing-masing sebanyak RM30.50 dan RM70.10. Sementara teksi pula sebanyak RM8.50 dan bas RM26.20.