Tahun 2018 telah menutup tirainya. Inilah tahun yang membawa perubahan besar untuk rakyat Malaysia apabila regim BN ditumbangkan setelah berkuasa selama 60 tahun.
Kini rakyat Malaysia mempunyai harapan untuk membawa negara ke era baharu dan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Menurut seorang pelabur asing, Jameson Tan, hanya satu yang Malaysia agak ketinggalan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), iaitu penyatuan rakyat menghadapi masalah negara.
Katanya, rakyat sama ada penyokong kerajaan dan pembangkang wajib bersatu menghadapi cabaran ekonomi 2019 yang dijangka diwarnai kemelesetan ekonomi dunia secara bersama-sama dan tidak mencetuskan sebarang prasangka antara kaum.
“Malaysia di bawah Kerajaan PH memang berpotensi mengatasi banyak cabaran untuk tahun 2019 tetapi yang penting ialah rakyat mesti bersatu.
“Hingga hari ini, terlalu banyak tumpuan diberi kepada isu perkauman dan ini membantutkan pertumbuhan negara sebab ramai pelabur asing akan mendapat gambaran bahawa Malaysia ‘tidak berapa stabil’ kerana kemungkinan wujudnya perselisihan di antara kaum.
“Ini amat merugikan Malaysia sebab tiada peperangan di sini dan disebabkan oleh kekurangan harmoni di antara kaum, Malaysia akan dipandang sebagai sebuah negara yang para pemimpinnya tidak mampu mengawal emosi sekelompok ekstremis yang mahu membuat kecoh.
“Justeru itu, puak-puak yang membangkitkan isu perkauman patut diberi hukuman yang berat supaya unsur-unsur yang membinasakan negara dapat dihapuskan dengan segera,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Pelabur yang mempunyai kilang di kawasan perindustrian Sungai Buloh, Selamgor ini turut menegaskan ramai pelabur asing berasa yakin selepas Kerajaan PH mengambil alih kuasa tetapi mereka rasa bimbang dengan situasi perhubungan di antara kaum yang nampaknya kurang baik.
“Sesebuah negara hanya boleh maju apabila rakyatnya hidup dengan aman-damai dalam suasana muhibbah. Setakat ini di Malaysia, sejak PH menang pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) tidak dapat dinafikan ramai masyarakat Melayu yang tidak berpuas hati.
“Ini saya tahu dari laporan pasca PRU14 yang mendedahkan bahawa sokongan Melayu untuk PH hanya di antara 30% hingga 40% dan di negeri-negeri Pantai Timur, tiada sokongan untuk PH.
“Saya berpendapat PH hanya akan mendapat lebih sokongan Melayu setelah masyarakat Melayu dapat merasai banyak manfaat yang diberikan oleh Kerajaan PH.
“Ini akan mengambil masa tetapi saya harap lebih orang Melayu akan menyokong PH dalam PRU15 nanti. Ini amat penting untuk kestabilan dan kemajuan Malaysia,” tambah Jameson.