Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), yang digantung pada Julai lepas, boleh diteruskan pada skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengakui bahawa kedua-dua negara masih dalam perbincangan mengenai perkara itu dan belum mencapai penyelesaian yang terbaik.
“Apa yang kita cuba lakukan ialah memastikan kita tidak akan menghabiskan banyak wang manakala China tidak akan mengalami kerugian,” kata Mahathir kepada Sin Chew Daily dalam temu bual pada hari Isnin.
Malaysia berada dalam dilema antara membayar ganti rugi besar sebaik sahaja projek itu ditamatkan secara rasmi dan kekurangan kemampuan kewangan untuk meneruskan projek itu, katanya.
Oleh itu, Malaysia akan membuat pindaan kepada projek itu atau mencari cara lain supaya perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan.
“Kami sedang berunding – secara rasmi atau tidak rasmi – dengan mereka, kepada mereka, ini adalah kontrak yang menguntungkan, jadi mereka enggan membuat perubahan,” katanya.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-9, Pakatan Harapan berikrar untuk menamatkan projek ECRL kerana terdapat kekurangan dari segi kontrak dan pinjaman projek, kata Mahathir.
“Tetapi ini tidak mudah kerana kami terikat dengan kontrak dan tidak dapat menamatkan projek dengan mudah kerana kami tidak mempunyai wang untuk membayar China … Kami telah membayar banyak wang kepada China selepas penangguhan itu,” katanya.
Projek ECRL bernilai RM81 bilion telah diluluskan oleh kabinet pada Oktober 2016. Pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China).
Malaysia akan dapat memperoleh sebahagian daripada pinjaman dari Exim Bank of China dengan syarat bahawa CCCC membina keretapi itu. – mkini