Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu diberi ruang untuk memimpin kerajaan dalam tempoh “yang dipersetujui”, kata Anwar Ibrahim.
Beliau yang dinamakan sebagai pengganti Mahathir berkata demikian pada ciapan di Twitter hari ini, selepas pertemuan bersama perdana menteri yang dikatakan berlangsung selama sejam.
“Tun Mahathir perlu diberi ruang untuk memimpin kerajaan bagi tempoh yang kami persetujui bersama. Beliau telah memberikan sokongan padu terhadap PH,” katanya tanpa menjelaskan jangka masa itu.
Mahathir berulang kali berkata beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua atau dua setengah tahun memegang jawatan perdana menteri.
Hal ini, meski pun terdapat gesaan akar umbi Bersatu, termasuk ketika perhimpunan agungnya minggu lalu, supaya Mahathir kekal berkhidmat menjadi perdana menteri selama satu penggal.
Pada hari tahun baru, Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah menjelaskan hal tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden.
“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun M (Dr Mahathir), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perdana menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami.
“Mereka (Dr Mahathir dan Anwar) juga adalah tokoh besar yang seharusnya dapat menentukan waktu terbaik untuk peralihan kuasa dan sebagainya,” katanya petik Bernama.
Bagaimanapun, pada wawancara bersama Sinchew Daily, Mahathir menegaskan akan melaksanakan janjinya dan berkata Anwar tidak pernah meminta untuk mengambil alih jawatan lebih awal dari tempoh dua tahun.
Sementara itu, Anwar berkata semasa pertemuannya dengan Mahathir, beliau juga membincangkan perjumpaannya baru-baru ini dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.
Menurut Anwar beliau meminta nasihat Mahathir mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi yang dijadual berlangsung minggu depan.
Sebelum ini, The Star melaporkan Anwar sekeluarga telah bercuti di Manila. Anwar berkata beliau menerima undangan untuk bertemu Duterte di istana presiden Filipina itu.
Anwar juga telah membuat ciapan di Twitter mengenai pertemuan itu pada Khamis minggu lalu.
Di samping itu, Anwar berkata beliau dan Mahathir bersetuju dengan strategi mengenai Singapura dan fokus ekonomi, termasuk masalah kemiskinan dan ketidakadilan.