Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyeru agar sistem politik naungan yang berleluasa dalam budaya politik Malaysia ditamatkan dan dikuatkuasakan segera Akta Sabotaj Ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata akta itu perlu dibentangkan di Parlimen secepat mungkin sebagai satu langkah untuk memastikan kedudukan parti tidak akan mempengaruhi pemberian kontrak kerajaan kepada usahawan Bumiputera.
“Akta Sabotaj Ekonomi dapat dibentangkan dengan secepat mungkin agar hanya usahawan Bumiputera yang tulen dan layak sahaja mendapat kontrak kerajaan tanpa mengambil kira jawatan-jawatan politik mereka.
“Jika tidak, perkembangan ekonomi Bumiputera akan kekal lesu dan keadaan politik negara pula akan terus bergolak akibat kekecewaan seluruh rakyat khususnya pengundi Bumiputera.
Yazid menambah akta itu juga akan mencegah penyalahgunaan dasar kerajaan yang bertujuan untuk membantu Bumiputera.
Beliau berkata MTEM menyokong Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada mesyuarat agung tahunan parti baru-baru ini untuk menolak amalan politik naungan.
Syed Saddiq berkata demikian selepas ucapan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Ab Rahmad pada majlis sama yang menggesa penguatkuasaan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri, supaya projek kerajaan dapat disalurkan kepada pemimpin akar umbi yang akan membantu program parti dan pembiayaan pada tahap itu.
“Amalan politik naungan perlulah dihentikan kerana ia akan menggalakkan pula kegiatan sabotaj ekonomi kerana ia akan menggalakkan mereka yang mendapat kontrak kerajaan atas sebab jawatan yang dipegang dalam parti politik tertentu.
“Tidak salah untuk memberi kontrak kerajaan kepada seseorang ketua bahagian tetapi pemberian ini mestilah berasaskan kelayakan dan prosedur yang ditetapkan.
“Politik Bumiputera perlu berubah selari dengan kehendak rakyat khususnya rakyat Bumiputera yang mahukan pembaharuan dan budaya politik naungan tidak harus menjadi budaya politik mana-mana parti politik.”
Yazid berkata politik negara tidak hanya ditentukan oleh mereka yang memiliki kekayaan dan modal, kerana mereka ini akhirnya akan mengejar agenda sendiri.
Jentera parti seharusnya memastikan cara untuk berkhidmat kepada akar umbi tanpa menggayakan pemimpin dan keluarga mereka.
Beliau berkata akta sabotaj ekonomi dicadangkan di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 pada September lalu dan juga dibangkitkan dalam laporan mengenai masa depan Malaysia yang dilancarkan pada mesyuarat tahunan Bersatu baru-baru ini. – TMI