Pengusaha stesen minyak dijangka tanggung rugi sehingga RM40 juta apabila harga runcit baharu petrol dan diesel berkuat kuasa mulai tengah malam ini, lapor Astro Awani.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Khairul Annuar Abdul Aziz dipetik berkata, kerugian itu disebabkan stok minyak yang dibeli pada harga tinggi kini akan dijual dengan harga lebih rendah, yang terpaksa mereka tanggung perbezaannya.
“Untuk penurunan 14 sen dan 27 sen petrol malam ini, memandangkan baki stok, industri peruncitan petroleum akan hilang antara RM30 hingga 40 juta di semua stesen.
“Semua pengusaha akan terus bersabar. Tapi kami yakin ini keputusan terbaik kerajaan. Pengumuman ini beri kesimbangan kepada semua,” kata Khairul Annuar, seperti dipetik portal berita itu.
Beliau turut berharap kaedah penetapan harga minyak secara mingguan yang diumumkan Putrajaya baru-baru ini dan dikuatkuasakan mulai minggu ini akan diperhalusi.
Katanya, PDAM berharap Putrajaya akan membuka pintu rundingan dengan pengusaha stesen minyak.
“Setiap kali naik, kita tempah banyak. Tetapi syarikat minyak nak hantar minyak pada hari selepas itu. Harga bila turun, terbalik.
“Kita tak nak beli mahal dan jual murah. Setiap minggu kita akan ada isu antara kami dengan pihak logistik pengangkutan. Nak hantar kadang-kadang lori tak ada kerja.
“Yang terakhir merumitkan kami, paras bekalan tak sama. Kerugian kami adalah apabila harga yang turun lebih banyak daripada harga naik, sebab tak ramai isi minyak.
“Secara keseluruhan, kita rugi (apabila) harga turun selalu,” katanya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan semua harga runcit petrol RON97 dan RON95 serta diesel diturunkan mulai esok berkuat kuasa sehingga 11 Januari ini, apabila kerajaan melaksanakan sistem penetapan harga secara mingguan selaras dengan trend harga minyak dunia yang turun.
Harga runcit petrol RON97 yang sekarang RM2.50 turun kepada RM2.23 seliter manakala RON95 turun daripada RM2.20 kepada RM1.93 seliter. Harga runcit diesel pula turun daripada RM2.18 kepada RM2.04 seliter.
Lim berkata, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan juga membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.
Pengumuman runcit akan dibuat pada Jumaat setiap minggu dan berkuatkuasa bermula Sabtu hingga Jumaat, kata ahli Parlimen Bagan itu.
Tambahnya, harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.
“Perlu ditegaskan harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019.
“Keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum ini juga telah pun mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, termasuk permintaan Persatuan Pengusaha Stesen-stesen Minyak (PDAM),” kata Lim.