Ekonomi Malaysia mungkin berdepan cabaran besar tetapi ia tidak akan menjunam tahun ini seperti diramal sesetengah pihak, kata Ong Kian Ming.
Timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata ekonomi mungkin perlahan tetapi kemelesetan tidak akan berlaku.
Beliau berkata trend dalam angka perdagangan yang meningkat, termasuk jualan pembuatan dan pertumbuhan dalam pekerjaan menunjukkan ekonomi mampu berdepan cabaran akibat faktor dalaman dan luaran.
“Nampaknya semakin banyak artikel memberikan pandangan dan meramalkan tentang masa depan ekonomi Malaysia bakal suram pada 2019.
“Sudah tentu ekonomi bakal berdepan cabaran oleh faktor dalaman dan luaran, tetapi persepsi bahawa ekonomi Malaysia akan teruk pada 2019 kebanyakannya palsu,” katanya dalam satu kenyataan.
“Apa yang penting ialah jangan panik tanpa pemahaman dan angka sebenar. Kemelesetan tidak menghampiri ekonomi Malaysia,” katanya. – TMI