Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbukti menepati janji apabila menurunkan harga minyak pada Januari 2019.
Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang berkata, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.93 seliter, RON97 2.23 seliter dan harga diesel RM2.04 seliter adalah hadiah tahun baharu yang membuktikan sifat keprihatinan kerajaan PH kepada derita rakyat.
Menurutnya, kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas minyak sebagaimana difitnah pembangkang dan menurunkan harga seimbang dengan harga bahan api itu di peringkat antarabangsa.
“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Kerajaan PH adalah kerajaan yang menepati janji. Kita janji kita akan menurunkan harga minyak dan sekarang ia telah dilakukan.
“Juga penting diberitahu kepada rakyat kalau harga minyak di pasaran dunia naik, harga tempatan untuk RON95 tidak akan melebihi RM2.20 seliter.
“Ini amat penting untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan PH akan memberi subsidi jika harga minyak di pasaran dunia melambung naik ataupun naik secara mendadak,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Chang berkata, kritikan yang dilontarkan oleh pihak BN bahawa PH gagal menangani kos sara hidup yang tinggi pula hanyalah retorik semata-mata.
Katanya, banyak harga barang di pasaran telah turun namun pembangkang hanya menumpukan kepada harga makanan atau bahan makanan mentah.
Sedangkan, kata Chang, bahan tersebut adalah berkadar 0% semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa. Kenaikannya adalah pada era BN dan tentunya sukar turun kerana tidak terkesan dengan Cukai SST.
“Sejak penghapusan GST harga barangan telah mengalami penurunan. Walaupun ada harga barang yang naik selepas perlaksanaan SST, ini adalah disebabkan oleh nilai Ringgit yang masih agak lemah (lebih RM4.10 untuk 1 Dolar Amerika) akibat dari skandal 1MDB yang telah merosakkan imej negara.
“Apabila imej negara tidak baik, maka nilai matawang akan kukuh tetapi saya rasa lambat-laun, mungkin dalam masa setahun dua, ekonomi negara kita akan kembali stabil apabila Kerajaan PH dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam semua sektor pentadbiran dan pengurusan.
“Pelabur asing kini beransur-ansur kembali ke Malaysia. Rakyat perlu bersabar dan dengan keyakinan yang ditunjukkan kepada Malaysia dari ramai pemimpin dunia, keadaan akan pulih tidak lama lagi.
“Ayuh, kita sama-sama mengorak langkah ke alaf yang baru!” ujar Chang bersemangat.