Kerabat Diraja Pahang bercadang menabalkan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Pahang, lapor The New Straits Times.
Kerabat diraja itu dilaporkan akan bermesyuarat minggu ini bagi membolehkan Tengku Abdullah menaiki takhta tersebut memandangkan ayahandanya Sultan Ahmad Shah, 88, kini tidak sihat.
Seterusnya, ia akan membolehkan Sultan Pahang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengikut tertib giliran, lapor akhbar itu.
Sumber akhbar itu berkata beberapa kerabat dan penasihat yang berpengaruh telah mencadangkan pelantikan Tengku Abdullah.
“Mesyuarat itu akan dihadiri keluarga dan penasihat terdekat. Sultan tidak sihat. Tengku Abdullah juga menggantikan ayahandanya menguruskan ha ehwal negeri.
“Berdasarkan sistem giliran, Pahang akan dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong menggantikan Kelantan. Kita harap dapat menghormati sistem giliran,” kata sumber istana.
Menurut sumber itu lagi, Sultan Ahmad Shah baru-baru ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara dan kini berada di Istana Pahang, di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur.
Tengku Abdullah kini berada di London, dan dijadualkan pulang ke tanah air untuk menghadiri mesyuarat di Istana Pahang minggu ini.
Mengikut sisitem giliran Raja-Raja Melayu, Sultan Pahang akan ditabal sebagai Agong selepas Sultan Kelantan Sultan Muhammad V meletak jawatan pada Ahad.
Akhbar tersebut turut memetik kenyataan pengkaji perlembagaan Shamrahayu Ab Aziz yang berkata, Tengku Abdullah tidak layak menjadi Agong ke-16 jika tidak ditabalkan sebagai Sultan Pahang.
“Ini dapat dilihat dalam pemilihan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 2016, walaupun menjadi Sultan pada 2010.
Undang-undang tubuh kerajaan Pahang menetapkan Sultan berkenaan perlu menyerahkan kuasa dengan cara bertulis untuk membolehkan Sultan baharu ditabal.
Penurunan takhtanya harus disertakan kenyataan ditandatangani dan dicap dengan mohor negeri, dengan disaksikan menteri besar dan setiausaha negeri.
Dokumen itu kemudiannya disahkan sebagai warta kerajaan dan diumumkan kepada rakyat.
Majlis Raja-Raja menetapkan 24 Januari untuk mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Acara mengangkat sumpah jawatan ketua negara itu pula akan diadakan pada 31 Januari ini. – TMI