Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan lakuan sukar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands selepas Barisan Nasional (BN) meletakkan calonnya daripada kalangan masyarakat Orang Asli, kata Kit Siang.
Ketua parlimen DAP itu berkata Ramli Mohd Noor mempunyai rekod yang mengagumkan sebagai pegawai polis dan anak tempatan Cameron Highlands, memberikannya kelebihan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata jentera pilihan raya PH perlu bekerja keras untuk memastikan calon parti, M. Manogaran mengulangi keajaiban pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sedih dan sangat malang bila BN dan Umno tidak meletakkan calon Orang Asli seperti Ramli ketika mereka masih berkuasa.
“Jika Ramli jadi wakil rakyat BN lebih awal, beliau sudah boleh jadi timbalan menteri atau menteri penuh untuk mengakhiri nasib masyarakat Orang Asli yang terpinggir dan membawa mereka ke aliran perdana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemangku pengerusi BN dan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata bekas penolong pesuruhjaya polis itu akan menarik undi Orang Asli.
“Saya pasti Orang Asli akan beri sokongan 100% kepadanya,” katanya selepas mengumumkan pencalonan Ramli.
Mohamad berkata Ramli akan diletakkan sebagai “calon langsung” BN, seperti dilakukan oleh gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016.
Lim berkata ketidakmampuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat itu menunjukkan pengabaian dan peminggiran yang berterusan.
Katanya, hanya baru-baru ini saja Orang Asli menjadi ketua pengarahnya, dan kurang 22% daripada kakitangan Jakoa adalah daripada masyarakat itu.
Lim berkata PH mewakili masa depan dan berharap masyarakat itu akan memilih calonnya.
“PRK Cameron Highland menjadi pembuka untuk pertarungan PRU15 dalam tempoh empat tahun lalu untuk memenangi kerajaan negeri Pahang, yang akan membolehkan masalah tanah Orang Asli diselesaikan,” katanya.
Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan kerusi Parlimen Cameron Highland 9 Mei lalu selepas mendapati wujud tindakan membeli undi dilakukan Naib Presiden MIC C. Sivarraajh, calon BN yang menang dalam pertandingan lima penjuru itu.
Pada PRU14, Sivarraajh menang 10,307 memperoleh majoriti nipis 597 berbanding calon DAP, Manogaran (9,710).
PAS memperoleh 3,587 undi, PSM 680 undi, dan Berjasa 81 undi.
Cameron Highlands ialah satu daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi MIC pada GE14. – TMI