Kepimpinan Bersatu peringkat pusat memutuskan untuk mengambil alih kepimpinan parti itu di Perlis.
Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata pengambilalihan itu berkuat kuasa hari ini dan akan berlanjutan sehinggalah kemelut yang melanda parti itu di Perlis selesai.
Katanya keputusan itu diambil agar Bersatu boleh menyelesaikan kemelut berkenaan mengikut saluran dalaman parti.
“Kami akan cari jalan penyelesaian dan buat sementara waktu, (pentadbiran) Bersatu Perlis akan diambil alih oleh ibu pejabat berkuat kuasa hari ini.
“Maksudnya ibu pejabat ambil alih kepimpinan negeri,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau yang juga timbalan menteri luar menggesa semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
Kemelut Bersatu Perlis timbul selepas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada jawatannya sebagai setiausaha Bersatu Perlis.
Wan Saiful kemudian mendakwa berlaku salah guna kuasa di pejabat Beersatu Perlis dan membuat laporan polis tentang perkara itu namun digesa untuk menarik balik laporan berkenaan.
Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan, Marzuki mengakui kepimpinan Bersatu di Perlis bermasalah sejak awal.
Katanya, sekiranya terdapat masalah integriti di kalangan kepimpinan maka pihak pusat tidak akan teragak-agak untuk membuat rombakan semula.
Marzuki hari ini ketika ditanya berkaitan rombakan kepimpinan Bersatu berkata ia hanya akan diputuskan selepas permasalahan yang melanda ketika ini diselesaikan.
“Bergantung kepada permasalahan yang dibangkitkan dapat diselesaikan, dan kita akan buat keputusan,” katanya.
Berkaitan dakwaan Wan Saiful pula, Marzuki berkata Bersatu menyerahkan sepenuhnya isu tersebut kepada siasatan polis.
“Itu dah buat laporan polis, kita serah pada pihak polis buat siasatan dan kita akan ambil maklum (hasil siasatan),” katanya. – mkini