Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak gusar berkenaan kemungkinan beliau sekali lagi tidak menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Usia saya 71 tahun, saya sudah diseksa dan kemudian diseksa lagi (dua kali dipenjara), jadi saya tidak terlalu risau tentang masa depan.
“Saya tahu orang fikir ahli politik tidak bermaksud (apabila mengatakannya), tetapi saya berkata benar. Que Sera Sera (apa yang akan terjadi, jadilah),” katanya ketika diwawancara akhbar India The Hindu.
Ditanya berkenaan tarikh untuk Mahathir menyerahkan kedudukan itu kepadanya, Anwar berkata mereka berdua setuju tempohnya tidak melebihi dua tahun.
“Tapi saya kata penting untuk kita tak umumkan tarikh. Kami mahu Mahathir mentadbir negara secara efektif dan dengan sokongan penuh… Kami perlu bersatu dan tumpu kepada masalah ekonomi yang serius,” katanya lagi.
Anwar sekali lagi mengakui bahawa keputusan untuk bekerjasama dengan Mahathir – dahulu musuh ketatnya – ketika PRU adalah sesuatu yang sukar dan menyakitkan.
“Saya bukan hipokrit, dan saya katakan ia satu keputusan sukar dan menyakitkan, juga kepada isteri saya (Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan anak-anak yang begitu menderita.
“Saya beritahu mereka bahawa demi negara, kita perlu pandang ke depan. Azizah komited, dan teruskan dengan kempen. Masalah yang dihadapi negara lebih runcing berbanding masalah saya.
“Dipenjara, kurungan terasing, diserang (bekas) ketua polis, aib oleh dakwaan seksual dan khianat memang amat sukar, tetapi akhirnya kita menang. Walaupun dengan wang, kehakiman yang perlu kita hadapi, tiada siapa boleh lawan kehendak rakyat,” katanya lagi.
Kata Anwar, beliau tidak menyesal bekerjasama dengan Mahathir tetapi mengakui ada beberapa kebimbangan.
“Tidak (menyesal), kerana kita berjaya tumbangkan regim korup dan kini mengendalikan masalah kewangan besar yang mereka tinggalkan. Mahathir juga mengumumkan program agenda yang utama.
“Tentulah ada kerisauan di kalangan penyokong kita yang lebih muda, termasuk anak saya (Nurul Izzah) yang melepaskan jawatan parti kerana kekecewaan, dan kita perlu akui rakyat ada jangkaan yang tinggi terhadap kerajaan kita.
“Pemakzulan Yang di-Pertuan Agong, walaupun ia isu berlainan, juga di saat yang menunjukkan kerajaan seolah-olah dalam masalah. Tetapi kredit untuk Mahathir, beliau telah tunjukkan hala tuju yang jelas untuk kerajaan,” katanya.