Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Barisan Nasional (BN) tidak lagi berkuasa di peringkat persekutuan dan sumber kerajaan Pahang adalah terhad.
“BN lebih menumpukan membaiki masalah yang ditimbulkan oleh skandal 1MDB. Kerajaan negeri (Pahang) memerlukan bantuan daripada kerajaan persekutuan. Sudah pasti saya tahu kerana saya menteri kewangan,” kata Lim pada majlis pelancaran ibu pejabat kempen pilihan raya kecil (PRK) Pakatan Harapan (PH) Cameron Highlands di Brinchang Square malam ini.
Beliau menggesa rakyat supaya ingat yang Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga sedang disiasat kerana rasuah yang menyebabkan PRK Cameron Highlands diadakan pada 26 Januari.
“PRK Cameron Highland disebabkan rasuah, dan orang yang terlibat adalah Wan Rosdy sendiri, kami akan terus memantau siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Lim juga mengkritik MCA kerana berhubung dakwaan RM16.5 juta yang diterima oleh parti itu daripada 1MDB.
“MCA telah mendapat wang 1MDB dan tidak dapat menjelaskan sumber wang itu, dan jika mereka perlu membayar semula RM16.5 juta, bagaimana mereka dapat membantu rakyat?” katanya.
Lim memberitahu orang ramai sudah tiba masanya bagi penduduk Pahang mengikut jejak langkah rakyat Malaysia lain untuk mengundi calon PH, M. Manogaran dengan Cameron Highlands sebagai batu loncatan pertama untuk pakatan memenangi negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
“Inilah peluang Cameron untuk berubah dan peluang diberi kepada rakyat. Jika kita menang di Cameron, kita mempunyai masa depan yang baik untuk menang di negeri ini,” katanya.
PRK Cameron Highlands dicetuskan selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen apabila bukti rasuah untuk mempengaruhi pengundi memilih BN didedahkan tahun lepas.
Calon MIC C. Sivarraajh, yang memenangi pertandingan lima penjuru dengan 10,307 undi, memperoleh majoriti 597 undi berbanding calon DAP M. Manogaran (9,710).
Dalam pilihan raya itu, PAS memperoleh 3,587 undi, PSM (680) dan Berjasa (81).