Pemimpin dan ahli Bersatu mula menyusun strategi menghadapi pemilihan parti sekitar Jun ini, dengan kebanyakannya cuba mengekang pemimpin dan ahli Umno yang baru menyertai parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mereka bimbang bekas pemimpin dan ahli Umno akan menguasai parti dan menjejaskan perjuangan Bersatu, selain merasakan mereka belum lagi menikmati “buah kemenangan” pilihan raya.
Ketua sayap Pemuda Bersatu Gopeng Megat Muhamad Asri Megat Zambri berkata ada ketua-ketua bahagian Bersatu yang mahu mengekalkan kuasa disebabkan belum lagi mendapat “pulangan” daripada pelaburan mereka dalam parti.
“Ada ketua-ketua bahagian yang dahulunya berjuang hendak balik pulangan mereka. Di bahagian-bahagian memang saya nampak strategi untuk mengekalkan kuasa itu sudah berjalan, tetapi bukan bahagian saya… bahagian lain,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Ada juga dalam kalangan ketua bahagian yang risau dengan kemasukan ahli baharu terutamanya daripada Umno, yang mempunyai kewangan kukuh dan mampu mempengaruhi ahli lain dalam pemilihan akan datang.
“Sekarang ini orang-orang lama sedia ada, pejuang-pejuang asal susah hati sebab mereka tidak berduit.
“Macam mana hendak mengambil hati ahli-ahli, sedangkan orang yang baharu masuk, berkemampuan untuk menabur duit kepada ahli lain. Sudah tentu mereka akan menguasai.
“Ini yang menjadi kerisauan ketua-ketua bahagian dan ahli sedia ada,” katanya, sambil menambah sayap Pemuda Bersatu lebih bimbang perkembangan ini akan membawa budaya korup ke dalam parti.
Sementara itu, ketua Pemuda Bersatu Pahang, Muhammad Iqmal Nizam Mohd Taufek mahu parti mempertimbangkan hanya mereka yang menjadi ahli sebelum April 2018 sahaja dibenarkan mengundi dalam pemilihan parti.
“Jika ahli-ahli yang baharu sertai Bersatu dibenarkan mengundi, kita khuatir akan jadi seperti PKR.
“Orang Umno ini berduit, mereka mampu untuk menguasai ahli. Apa akan jadi dengan pejuang asal?” soalnya, yang setuju dengan cadangan agar pemilihan nanti dibuka kepada semua ahli, seorang ahli satu undi.
Selepas perhimpunan Bersatu, ketua-ketua bahagian mula menyusun gerakan termasuk mahu menyingkir Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ketua Pemuda Bersatu susulan ketegasannya menyelar tindakan perwakilan membangkitkan isu pemberian kontrak dan jawatan semasa perhimpunan.
Pendirian Syed Saddiq bertentangan dengan ucapan Naib Presiden Abdul Rashid Abdul Rahman yang menyarankan agar ketua bahagian dan cawangan mendapat projek kerajaan.
Seorang sumber yang juga ketua bahagian Bersatu berkata saranan Rashid tepat pada masanya kerana ia berkait rapat dengan pemilihan parti akan datang.
Jelasnya, ketua bahagian yang tidak mendapat peruntukan kewangan daripada parti dilihat lemah dan lesu kerana tidak mampu menganjurkan program untuk menggerakkan parti, sehingga boleh hilang pengaruh dalam kalangan ahli.
Malah lebih mengeruhkan lagi keadaan kata sumber, ada pimpinan tertinggi parti yang sudah mula menyusun “cai” atau senarai bayangan barisan pemimpin untuk meletakkan individu tertentu termasuk daripada kalangan bekas ahli Umno yang berduit untuk menerajui pimpinan di bahagian.
“Kalau pimpinan bawa bekas-bekas orang Umno yang berduit, matilah kita hendak lawan. Akhirnya Bersatu akan jadi jelmaan Umno.
“Kita bukan takut hilang jawatan tetapi biarlah pertandingan itu adil. Bukan disebabkan ‘cai’ yang disusun pihak atasan,” katanya.
Sumber mengakui pucuk pimpinan parti memberi jaminan bekas pemimpin dan ahli Umno yang menyertai Bersatu tidak boleh pegang jawatan sehingga pilihan raya akan datang, namun tidak yakin ia akan dijalankan secara menyeluruh.
“Itu hanya melibatkan orang atas sahaja seperti ahli Parlimen Umno, pimpinan tertinggi, yang dikenali.
“Yang di bawah ini bukan mereka ambil kira sebab kurang dikenali. Saringan itu saya yakin tidak akan meliputi semua peringkat terutamanya di bawah,” ujarnya. – TMI