Gesaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar Presiden MCA Wee Ka Siong menyemak dari manakah sumber dana RM16.8 juta yang diterima parti itu daripada bekas PM Najib Razak sebelum pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) adalah sesuatu yang wajar.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, Wee harus mengembalikan dana itu kepada kerajaan andainya terbukti ia mempunyai kaitan dengan 1MDB kerana dana itu adalah wang rakyat.
“MCA patut serta-merta menyiasat sumber dana tersebut dan memberi maklumat itu kepada rakyat Malaysia. Sebab kalau MCA berdiam diri maka ia telah hilang wibawa dan ketelusannya. Imej MCA terjejas teruk dan ia akan menjadi semakin teruk lagi kalau isu RM16.8 juta itu tidak dijelaskan dengan terperinci.
“Presiden MCA, Wee Ka Siong tidak boleh berdiam diri setelah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta penerangan diberikan.
“Skandal 1MDB merupakan skandal antarabangsa yang telah menjejaskan nama baik Malasyia sehingga pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio pun telah memberi keterangan mengenainya.
“MCA harus mengambil kesempatan ini untuk berjalan di atas landasan yang telus kerana rakyat tahu bahawa parti itu bersekongkol dengan pentadbiran lama (BN) yang terlalu kuat melakukan amalan rasuah,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu kepada Suara Pakatan Daily.
Ng juga menekankan bahawa semua parti politik harus mengamalkan prinsip dan pendirian yang bersih kerana rakyat Malaysia baharu celik berpolitik. Mereka tidak boleh ditipu lagi dan kekalahan BN dalam PRU14 adalah kerana BN sudah hilang prinsip, amalan ketelusan serta kewibawaan.
“MCA tidak boleh membasuh tangan mereka begitu sahaja hanya sebab mereka tidak berkuasa dalam kerajaan hari ini.
“Walaupun kerajaan lama tidak memberi GST refund (pulangan balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan) kepada golongan perniagaan selama 2 tahun, Kerajaan Pakatan Harapan (dengan penuh integriti) telah memulangkan duit itu,” tambah Ng.