Calon bebas, Sallehuddin Ab Talib merupakan calon paling awal tiba di pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Cameron Highlands di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, di sini.
Salehuddin tiba kira-kira jam 8.50 pagi tanpa diiringi penyokong. Sementara itu, M Manogaran dari Pakatan Harapan (PH) tiba kedua paling awal pada jam 9 pagi.
Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor tiba jam 9.05 pagi.
Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis mengumumkan waktu penyerahan borang percalonan dibuka jam 9 pagi.
Terdahulu lebih 1,000 penyokong PH mula berarak dari Terminal Tanah Rata. Antara pemimpin PH yang menyertai perarakan ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Gobind Singh Deo, M Kulasegaran.
Sementara itu, calon BN, Ramli juga diiringi kira-kira 1,000 penyokong, termasuk pemangku pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Naib Presiden Umno, Datuk Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid sertai pemimpin kanan BN dan Umno.
Turut kelihatan ialah Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan hadir memberi sokongan kepada calon BN.
Tarikh membuang undi bagi PRK Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Jan ini, sementara undi awal pada 22 Januari.
Pada 4 Jun lepas, M Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum pada 9 Mei lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 28 Disember lalu, mengesahkan Sivarraajh yang merupakan naib presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK itu.
Sivarraajh, yang menghadapi persaingan 5 penjuru pada pilihan raya umum lepas memenangi kerusi itu dengan mendapat 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi. – FMT