Calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran berkata, beliau tidak gentar menghadapi calon BN berketurunan Orang Asli, Ramli Mohd Nor.
Menurut Manogaran, Orang Asli wajar melihat rekod kerja beliau dan PH dalam membantu masyarakat di sana.
Katanya, BN menang di Cameron sejak sekian lama namun nasib Orang Asli masih terbiar, jauh daripada kemajuan, tidak berpendidikan dan tanah mereka boleh diambil kerajaan pada bila-bila masa sahaja.
Katanya, PH akan membantu memperbaiki nasib Orang Asli apatah lagi gabungan itu telah pun membentuk kerajaan persekutuan.
Oleh itu, beliau dan jentera PH akan melipatgandakan usaha berkempen di kawasan Orang Asli untuk memberi kesedaran agar membuat pilihan yang betul pada hari mengundi.
“Kerja yang kuat dan usaha yang gigih perlu dilakukan untuk meraih sokongan semua golongan pengundi terutamanya di kawasan kerusi Dewan Undanan Negeri (DUN) Jelai dimana majoritinya ialah pengundi Melayu dan Orang Asli.
“Isu di Cameron ialah isu harian selain daripada isu kesesakan trafik terutamanya pada hujung minggu.
“Apapun, saya harap sokongan dari masyarakat Orang Asli akan meningkat untuk PH kali ini sebab sejak April 2013 saya telah bertugas di sini.
“Saya telah mengadakan program pertandingan futsal, program kesihatan dan lain-lain program untuk manfaat masyarakat di Cameron selain daripada melawat pengundi di kawasan pedalaman setiap hujung minggu dan setiap hari Rabu,” kata Manogaran kepada Suara Pakatan Daily.