Nampaknya masih ada yang belum tuntas dalam PKR apabila presidennya Anwar Ibrahim malam tadi memberi teguran kepada anggota parti itu.
Kata Anwar mereka mesti berhenti ‘bermain wayang’ sebaliknya menumpukan usaha mengukuhkan permuafakatan dalam parti dan memperkemaskan disiplin.
“Nak sindir menyindir, dalam mesyuarat OK-lah.
“Kalau (masih) terus bermain wayang begini, kalau ada, kita minta supaya dihentikan,” katanya ketika berucap di majlis Malam Gala PKR di Shah Alam malam tadi.
PKR berdepan dengan persaingan dalaman apabila parti itu mengadakan pemilihan antara Sept hingga Nov tahun lalu melibatkan dua kumpulan utama.
Berbeza daripada parti lain dalam negara ini PKR memberikan hak kepada semua anggotanya mengundi bagi memilih pemimpin dari peringkat akar umbi sehingga yang tertinggi.
Turut menjadi perhatian Anwar ketika ini ialah tingkah laku sesetengah anggota parti yang mempunyai jawatan.
Katanya ada antara mereka berasakan mereka boleh berbuat sesuka hati masing-masing selepas memperoleh jawatan tertentu.
“Ada setengah orang, dia jadi wakil rakyat biasa (saja), tapi dia ingat dia lebih daripada menteri besar.
“Ada yang (cuma) jadi ketua cabang, (tapi) dia ingat dia (dah) jadi ketua presiden. Ada,” katanya.
Bagaimanapun kata Anwar hal itu adalah lumrah dalam sebuah pertubuhan besar.
Cuma katanya buat masa ini keutamaan PKR ialah mengukuhkan persefahaman dan kerjasama dalam kalangan semua anggota parti.
Baca Penganalisis: Anwar kena tangani perbalahan dalam PKR
Tambah Anwar, beliau tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan pelanggaran disiplin yang berlaku dalam parti.
“Saya tak akan tolak ansur dengan pelanggaran disiplin dalam parti kerana kita bertanggungjawab memperkuat semangat dalam parti,” katanya lagi.
Mengenai rasa tidak puas hati sesetengah anggota parti selepas pemilihan berakhir, Anwar berkata, secara umumnya ia sudah selesai kecuali sedikit.
“Setakat ni alhamdulillah telah selesai, walaupun ada sikit sebanyak ngok-ngek ngok-ngek,” katanya.
Pada 28 Dis lalu, Anwar mengumumkan barisan 14 jawatan lantikan parti itu yang menyaksikan Rafizi dilantik sebagai naib presiden manakala Saifuddin Nasution Ismail dipilih semula sebagai setiausaha agung.
Hal itu menyebabkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyifatkan pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip “perwakilan yang adil dan saksama” terhadap aspirasi anggota parti.
Masalah itu menyebabkan timbul desas-desus bahawa hubungan Anwar dan Azmin terjejas, yang bagaimanapun dinafikan Azmin.
Majlis Malam Gala PKR tersebut diadakan bagi meraikan pelantikan Anwar selaku presiden PKR yang baru.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar dan Menteri Kerja Raya Baru Bian.