Pihak pembangkang BN, terutamanya bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak baru-baru ini riuh mempersoalkan ‘pemberian’ duit minyak kepada pasukan sukarelawan Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands yang digembar gemburkan sebagai salah satu amalan rasuah.
Namun adakah Najib terlupa rasuah yang diberikan BN ketika musim pilihan raya umum kepada pengundi sepanjang 61 tahun parti itu memerintah?
Bagi Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, pertanyaan Najib itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut beliau. Apatah lagi Najib telah dituduh di mahkamah dengan lebih 40 dakwaan rasuah.
Katanya, pemberian duit minyak bagi sukarelawan kempen bukan rasuah dan termasuk di dalam perbelanjaan pilihan raya yang dibenarkan undang-undang.
“Perbelanjaan untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands, iaitu sedikit duit minyak untuk penunggang motorsikal masih dalam jumlah yang dibenarkan untuk pilihan raya.
“Cuma sangat pelik Najib kini ‘pandai mengulas’ mengenai hal rasuah. Sedangkan semasa beliau menjadi PM, ada RM2.6 bilion,” sinis ADUN Sekichan itu mengingatkan nilai yang ditemui dalam akaun peribadi Najib yang didakwa berasal daripada dana 1Malaysia Development Berhad.
Ng menambah, dalam banyak pilihan raya BN juga memberi duit minyak kepada pasukan sukarelawan yang datang membantu dan ini adalah perkara biasa.
“Sudah jelas BN takut kalah di Cameron dan mencari pelbagai alasan walau bagaimana bodoh sekalipun untuk meraih sokongan pengundi.
“BN tiada hujah yang bernas untuk meraih sokongan sebab mereka tidak menyelesaikan masalah tempatan di sana semasa berkuasa. Oleh itu, sekarang ramai pengundi mungkin mahu bertukar kepada PH.
“Selain itu, faktor PH adalah Kerajaan Persekutuan akan membantu Manogaran, sebab Kerajaan Persekutuan boleh menyalurkan banyak dana untuk pembangunan di Cameron dan pengundi di sana sedar akan hal ini,” ujar Ng kepada Suara Pakatan Daily.
Dalam pada itu, M. Manogaran menegaskan menurut undang-undang pilihan raya, beliau berhak berbelanja sehingga RM200,000 semasa berkempen, termasuklah duit minyak kepada sukarelawan.
“Semua yang kita lakukan adalah secara terbuka dan akan tertera dalam hitam-putih nanti.
“Kita tidak melakukan secara senyap dan tersembunyi seperti yang biasa dilakukan oleh setengah-setengah pihak dalam rejim lama .
“Ingat, dari awal lagi, saya telah memberi amaran keras kepada semua pihak bahawa tiada siapa pun boleh melakukan amalan rasuah,” tegasnya.