Barisan Nasional gagal dalam tugas asasi mereka menyediakan jalan raya yang baik untuk perkampungan Orang Asli Cameron Highlands, kata Lim Kit Siang.
Katanya, pentadbiran terdahulu BN, terutama sekali pimpinan Najib Razak juga mengabaikan Orang Asli kawasan itu yang masih tidak mendapat bekalan air bersih, elektrik, pendidikan asas dan perubatan yang baik.
Melabelkan jalan ke perkampungan tersebut sebagai “jalan roti canai”, Lim berkata Najib perlu turun padang untuk melihat sendiri bagaimana Orang Asli dikecewakan BN bukan sahaja di Cameron Highlands tetapi juga seluruh Malaysia.
Najib akan mula berkempen untuk BN di Cameron Highlands bermula Khamis ini hingga Ahad.
“Saya harap dia akan menggunakan jalan raya ‘roti canai’ yang paling buruk digunakan penduduk Orang Asli yang terpencil untuk melihat sendiri bagaimana beliau sebagai perdana menteri keenam telah gagal membela nasib Orang Asli di Cameron Highlands dalam menyediakan infrastruktur yang paling asas,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.
“Dia patut melawat kampung terceruk Orang Asli ini, bukan terbang guna helikopter tetapi jalan biasa yang terpaksa digunakan Orang Asli dalam kehidupan harian mereka,” katanya lagi.
Lim juga mempertahankan kelemahan tindakan kerajaan Pakatan Harapan untuk melindungi hak tanah Orang Asli, kerana bidang kuasa tanah adalah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tidak boleh masuk campur apatah lagi di negeri yang masih dikuasai BN seperti Pahang.
PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH M Manogaran, calon Orang Asli BN Ramli Mohd Noor dan dua lagi calon Bebas. – TMI