Penduduk Orang Asli di Pos Terisu berharap pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di situ dapat dibuka semula untuk kemudahan masyarakat setempat.
Tok Batin, Jaafar Timur berkata, ini kerana penutupan pejabat Jakoa tersebut sejak 10 tahun lalu bermula 2008 menyukarkan penduduk membuat urusan.
“Pejabat Jakoa di sini dah lama tak berfungsi, kira-kira 10 tahun. Kalau nak berurusan kami terpaksa ke Tanah Rata yang akan mengambil masa hampir satu jam.
“Misalnya, kalau ada penduduk nak berkahwin urusan jadi sukar kerana pejabat Jakoa jauh. Kami berharap pejabat Jakoa diwujudkan semula di Pos Terisu,” katanya ketika ditemui FMT, sambil memaklumkan pegawai Jakoa ada turun ke kampung itu setiap bulan bertemu penduduk.
Jaafar berkata, penutupan pejabat Jakoa sejak 10 tahun lalu menyukarkan penduduk.
Hasil pemerhatian FMT mendapati kawasan sekitar pejabat Jakoa yang terbiar dipenuhi semak dan jalan menuju ke bangunaan itu juga tidak boleh dilalui.
Selain dipenuhi semak samun, beberapa bangunan, dewan serbaguna sertai rumah pegawai Jakoa juga terbiar tidak boleh digunakan, walaupun struktur bangunannya kelihatan masih kukuh.
Sementara itu, Timbalan Tok Batin, Talib Babusu berkata, ketiadaan pejabat Jakoa itu menyebabkan keadaan kampung juga sepi tiada aktiviti dijalankan.
“Sepatutnya pejabat Jakoa kena ada di sini, kami tidak payah pergi jauh sehingga ke Tanah Rata.
Talib berkata, Sultan Pahang pernah menghadiri program di pejabat Jakoa Pos Terisu.
“Saya rasa Jakoa tidak mahu duduk di sini sebab faktor jalan raya yang tidak baik.
“Dulu ketika pejabat ini aktif, aktiviti di sini sentiasa ada. Bila menteri turun, wakil rakyat turun, ‘orang bandar’ pun datang melawat. Pelbagai aktiviti, termasuk acara sukaneka juga di buat disini,” katanya sambil memberitahu beliau tidak dimaklumkan punca penutupan pejabat itu.
Talib berkata, Sultan Pahang juga pernah menghadiri program bersama Orang Asli di pejabat Jakoa Pos Terisu.
“Sultan Pahang pernah datang ke sini. Jadi kami anggap ia tempat bersejarah kerana kami bertuah Sultan turun ke kawasan kami ini,” katanya.
Bagi Randy Yeop, keputusan Jakoa menutup pejabatnya di Pos Terisu dan berpindah ke bandar Tanah Rata tidak munasabah kerana ia bukan hanya jauh, tetapi banyak membuang masa Orang Asli yang mahu berurusan ke sana.
“Bila buat di luar, ia menyusahkan kami. Kami terpaksa keluar jauh ke Tanah Rata, kadang-kadang bila sampai di sana nak jumpa pegawai, pergi sekali belum tentu boleh jumpa. Pergi 2, 3 kali baru jumpa, jadi ia menyusahkan.
“Kami harap pejabat itu buat di sini semula. Kami bukan banyak duit bila nak keluar, kos tinggi kami kena keluarkan,” katanya dengan mendakwa keputusan Jakoa menutup pejabatnya di Pos Terisu juga membazirkan dana dan kemudahan kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Jaafar berkata, penduduk di kampung itu rata-rata mahu calon BN, Ramli Mohd Nor, menang dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands yang sedang berlangsung.
“Orang kampung saya memang tak ragu-ragu akan pilih Ramli kerana ini kali pertama calon dalam kalangan Orang Asli. Kami sangat berharap beliau menang kerana mudah nak berurusan dengannya,” katanya. – FMT