Pakatan Harapan akan berdepan laluan sukar untuk memenangi Cameron Highlands daripada Barisan Nasional (BN) kerana pengundi Orang Asli percaya BN masih berkuasa dan mampu menjaga kepentingan mereka, kata pakar strategi DAP Liew Chin Tong.
Timbalan menteri pertahanan itu berkata bukan mudah untuk PH menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
“Saya datang sini minggu lepas dan hari ini. Kita ada tujuh hari sebelum PRK tetapi jika kita menang, tentunya ia satu keajaiban.
“Di kampung Orang Asli, masih ramai tidak tahu bahawa kerajaan sudah berubah.
“Mereka masih fikir bekas perdana menteri Najib Razak masih berkuasa. Dan Najib juga berlagak macam menteri bila dia di sini, ” katanya pada program kutipan dana di Kampung Raja semalam.
PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH M.Manogaran, Ramli Mohd Noor daripada BN dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.
Liew berkata BN mampu membodohkan Orang Asli kerana mereka tidak mempunyai kemudahan yang sempurna seperti akses jalan, liputan telefon dan tiada Internet.
“Hingga sekarang dia (Najib) beritahu orang ramai dia masih dalam kerajaan. Dia beritahu orang mereka kerajaan sementara PH pembangkang.
“Itu kesukaran yang kami hadapi. Orang Asli jadi keliru.”
Liew berkata PH masih ada peluang untuk menang kerana sebelum ini mereka mendapat 10% undi daripada pengundi Orang Asli.
“Kami akan terus berkempen dan berharap mendapat undi pada PRK ini,” katanya. – TMI