Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang berjaya menarik minat beberapa syarikat swasta untuk melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang hampir mencapai kapasiti maksimum jumlah penumpang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antara cadangan yang diterima adalah untuk melaksanakan kerja-kerja pembesaran dengan pendekatan yang lebih komprehensif.
“Beberapa syarikat swasta telah menyatakan cadangan untuk penambahan kapasiti sebanyak 16 juta penumpang setahun berbanding cadangan asal hanya 12 juta penumpang setahun.
“Walau bagaimanapun, cadangan ini memerlukan pengambilan beberapa tanah di luar ‘bank’ lapangan terbang sedia ada,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, cadangan pembesaran LTAPP telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan kelulusan.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, pembesaran LTAPP perlu dilaksanakan secepat mungkin memandangkan ia semakin mencapai kapasiti maksimum jumlah penumpang.
Jumlah penumpang di LTAPP untuk tiga bulan pertama pada 2017 adalah seramai 1.73 juta orang iaitu peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 2018 seramai 1.85 juta penumpang.
Ini adalah suatu perkembangan yang amat baik khususnya dalam sektor antarabangsa yang menampakkan pertumbuhan sebanyak 16 peratus.