Pengundi Felda di Cameron Highlands tidak boleh jatuh perangkap propaganda Barisan Nasional, kata Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Datuk Mazlan Aliman ketika gabungan pembangkang itu merancakkan usaha meraih undi.
Beliau mengingatkan peneroka Felda di Sungai Koyan yang tuduhan dilemparkan BN bahawa pentadbiran Pakatan Harapan tidak berbuat apa-apa bagi mengurangkan beban peneroka adalah tidak benar.
“Kerajaan sedang membantu peneroka dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali juga akan membuat pengumuman lanjut tentang bantuan itu.
“Sebelum ini, beliau sudah menjelaskan situasi semasa dihadapi Felda, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga mengumumkan peruntukan kepada Felda,” katanya kepada media di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Bulan lepas, Putrajaya mengumumkan peruntukan khas RM77 juta untuk Felda, daripada jumlah itu, RM32.8 juta adalah dikhususkan untuk bantuan sara hidup peneroka seluruh negara termasuklah 2,800 orang di Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 Cameron Highlands.
Azmin juga mendedahkan yang apabila PH mengambil alih Putrajaya, Felda yang merupakan agensi kerajaan dibebani hutang menggunung sehingga boleh dikatakan rizabnya “hampir kosong”.
Kempen PRK Cameron Highlands sedang menempuh masa-masa akhir, rakyat akan mengundi Sabtu ini. Perebutan kerusi Parlimen yang tradisinya kubu kuat BN itu menyaksikan pertempuran empat penjuru antara Ramli Mohd Nor (BN), M Manogaram (PH), dan dua calon Bebas, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.
BN memegang kerusi itu sejak ia diwujudkan pada 2003.
Isu yang membelenggu kehidupan peneroka seperti kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah serta peningkatan kos sara hidup menimbulkan rasa tak puas hati terhadap kerajaan, yang dalam tempoh berkempen PRU14 tahun lepas berjanji akan menghapuskan hutang peneroka sekiranya junjung kuasa di Putrajaya.
Janji itu sehingga kini masih belum dilunaskan.
Mazlan, seorang aktivis Felda dikenali ramai sejak menjadi presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) dahulu, kini ditugaskan untuk membantu kerajaan memperkenalkan aktiviti ekonomi alternatif bagi meningkatkan pendapatan peneroka.
Menurutnya, antara yang sedang diusahakan adalah projek ekonomi tambahan di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor, yang jika semuanya berjalan lancar dalam tempoh beberapa bulan lagi, peneroka kawasan itu akan mampu menanam buah-buahan seperti nenas, tembikai dan pisang bagi menjana pendapatan tambahan.
Mazlan yang juga pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), berkata peneroka Felda Sungai Tengi buat masa sekarang tiada pendapatan kerana ladang kelapa sawit mereka sedang menjalani proses penanaman semula.
Kelapa sawit mengambil masa tiga tahun untuk membesar, dan buahnya paling cepat boleh dituai dalam tempoh kurang setahun selepas itu.
“Elaun yang diberikan kepada peneroka tak cukup. Jadi, mereka perlukan tumbuhan alternatif untuk menjana pendapatan.
“Dalam tempoh jangka panjang, kami juga merancang memperkenalkan ternakan haiwan kepada peneroka. Mereka boleh ternak kambing dan lembu.”
Menurutnya lagi, rancangan itu baharu sahaja dibentangkan kepada lembaga pengarah LPP tiga hari lepas, menambah yang projek itu dicadangkan di tanah seluas dua hektar di Felda Sungai Tengi pada Mac atau April depan.
Mazlan berkata Putrajaya ambil berat tentang kehidupan serta masalah yang memberi kesan kepada kehidupan peneroka, dan akan terus memperkenalkan projek, geran, pinjaman mudah dan pelbagai insentif lain untuk membantu peneroka dan keluarga.
“Dakwaan yang kerajaan lepas tangan terhadap Felda tidak benar.” – TMI