Dalam kunjungannya ke kubu kuat BN hari ini, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad merayu pengundi di Felda Sungai Koyan memilih calon PH, M Manogaran esok.
Bercakap di kawasan majoriti Melayu itu, beliau berkata tiada gunanya mereka memberikan undi kepada BN sedangkan ramai pemimpin gabungan itu baru-baru ini meninggalkan parti terbabit dan memilih menyertai PH.
“BN ditolak buat kali pertama (selepas PRU14) sebab dipimpin oleh seorang penyangak. Sebab itu kita buang Najib (Razak) dari jawatan perdana menteri, beliau kena buang oleh parti sendiri.
“Ramai orang parti Umno jumpa saya termasuk Mohamad Hasan, Ahmad Zahid Hamidi jumpa juga nak kerjasama.
“Ramai berduyun-duyun nak masuk Bersatu, nak masuk PH. Orang sudah tidak percaya lagi kepada Umno.
“Umno tidak ada apa-apa lagi. Saya yakin Umno tidak ada masa depan lagi, jadi buat apa pilih mereka?” katanya.
Mahathir berkata demikian pada ucapannya di ceramah “Membangun Bersama Harapan” hari ini.
Beliau yang juga perdana menteri berkata, tindakan BN meletakkan calon Orang Asli daripada suku Semai, Ramli Mohd Nor, juga bukan bertujuan untuk menjaga kebajikan masyarakat di situ, sebaliknya lebih kepada ingin mengekalkan kuasa.
“Kata layan Orang Asli… ini (BN) nak tipu ambil Orang Asli bertanding.
“Mereka bukan sayang Orang Asli tapi sayang jawatan, sebab itu bertanding,” katanya.
Beliau turut mengimbas semula bagaimana Umno mula ditolak rakyat pada PRU ke-12, ketika ia dipimpin perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi, sehingga menyebabkan parti itu hilang kuasa di lima negeri.
“Selepas BN kalah, Pak Lah berundur, dan Najib naik. Mula-mula saya seronok sebab bapanya, Tun Razak sangat prihatin kepada rakyat, bangunkan Felda, bangunkan kawasan luar bandar semua junjung tinggi Tun Razak.
“Jadi kita ingin anak dia (Najib) begitu juga. Kata orang, bapak borek anak rintik, (tapi) rupa-rupanya penyangak, ” katanya – mkini