Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat perlu berasa malu untuk terus menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya terkenal dengan bekas presiden kleptokratnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata bukan sahaja kedua-dua parti itu ditolak rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, malah presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas berpuluh tuduhan salahguna kuasa ketika pemerintahannya turut ditolak anggota partinya sendiri.
Para pimpinan PH di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.
“Dalam PRU-14, BN buat kali pertama ditolak kerana dipimpin seorang penyangak, satu dunia tahu dan panggil dia kleptokrat, itulah nama diberi kepada Najib.
“Tak malukah kita? (sokong Najib lagi). Sebab itu kita semua buang Najib daripada jadi perdana menteri dan Umno pula buang Najib dari jadi presiden parti,” katanya di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan M. Manogaran.
Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno selama 22 tahun itu turut menzahirkan keyakinan bahawa parti tertua negara itu bersama-sama parti komponen BN sudah tidak mempunyai masa hadapan dalam landskap politik negara.
Ribuan penyokong dan pengundi hadir bagi mendengar amanat yang disampaikan barisan Pimpinan PH di Sungai Koyan hari ini
Malah dakwanya, ramai daripada anggota Umno yang mahu menyertai Bersatu dan PH, termasuk Presiden Umno sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Bersatu.
Sepatutnya, kata beliau, parti itu tidak perlu lagi meletakkan calon di dalam PRK berkenaan.
“Toksah (tidak perlu) bertanding lagi, orang Umno sendiri tolak Umno, ramai minta nak masuk Bersatu dan Pakatan Harapan, sebab tak percaya lagi pada Umno, ini apa lagi nak pilih orang Umno, dah tak ada dah Umno, yang ada parti penyangak.
“Jadi, buat apa nak pilih satu orang (calon BN Ramli Mohd Nor), apa dia boleh buat? Biarlah dia Orang Asli, kita juga layan Orang Asli, tapi ini nak tipu Orang Asli, ambil Orang Asli jadi calon,” katanya.