Suatu kajian yang dijalankan di seluruh negara pada akhir tahun lalu menunjukkan hampir 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.
Dapatan daripada kajian itu menyatakan 54.4 peratus responden Melayu tidak percaya kerajaan serius melaksanakan agenda Melayu, termasuk mempertahankan hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.
Laporan TMI melaporkan 60 peratus responden pula percaya orang bukan Muslim sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat keputusan di Putrajaya.
Kajian Ilham Centre bersama Penang Institute itu dijalankan ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Okt hingga 24 Dis 2018.
Untuk rekod PH hanya mendapat sokongan kira-kira 17 peratus pengundi Melayu pada PRU Mei tahun lalu.
Kajian itu juga menunjukkan lebih separuh responden percaya PH boleh bertahan lebih dari satu penggal dan pentadbiran sekarang akan membawa masa depan cerah buat negara.
Pengarah Ilham Centre Mohd Yusri Ibrahim berkata naratif Islam yang dikemukakan PH sukar difahami ramai orang Melayu kerana falsafahnya terlalu dalam.
“Untuk memenangi hati Melayu kerajaan mesti memaparkan diri mereka sebagai konservatif dan centrist, bukan progresif atau konservatif kanan seperti PAS atau Umno,” katanya.
Kajian itu juga menunjukkan 53.6 peratus responden tidak bersetuju Dr Mahathir Mohamad menamatkan tempohnya selama lima tahun sebagai perdana menteri, sebaliknya menyerahkan pimpinan kepada Anwar Ibrahim seperti yang dirancang.
Daripada jumlah itu 51.9 peratus responden bersetuju Anwar adalah orang yang terbaik untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Dapatan lain termasuklah:
- 59.5 peratus responden tidak bersetuju mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH sejak PRU lalu, berbanding 40.8 peratus yang bersetuju
- 54.4 peratus bersetuju kerajaan PH mengabaikan hak orang Melayu dan kepentingan Islam, berbanding 45.1 peratus yang berpendirian sebaliknya
- 50.1 peratus berpendapat PH tidak serius memenuhi janji pilihan raya dalam manifesto mereka berbanding 49.8 peratus percaya sebaliknya
- 58.3 peratus yakin kerajaan pusat tidak serius menangani isu kos sara hidup
- 62.9 peratus reposnden yakin orang bukan Muslim kini mengawal kerajaan pusat selepas 9 Mei berbanding 37.2 yang berpendapat sebaliknya
- 62 peratus percaya DAP mendominasi kerajaan berbanding parti lain dalam PH
- 58.9 peratus percaya kerajaan pusat kini membawa agenda liberal – mkini