Malaysia perlu mengusahakan pembentukan ‘kartel’ negara pengeluar minyak sawit untuk memastikan harga yang tinggi di pasaran dunia dan menentang kempen memburuk-burukkan komoditi itu oleh negara Eropah dan Amerika Syarikat.
Seorang pelabur asing, Jameson Tan berkata demikian sebagai reaksi kepada penghentian pembelian minyak kelapa sawit oleh Eropah yang menyebabkan Malaysia kehilangan sumber pendapatan yang besar.
“Negara Malaysia dan lain-lain negara pengeluar minyak sawit patut menubuhkan satu organisasi untuk menjaga kepentingan diri mereka sndiri terutamanya dalam hal menentukan harga komoditi itu.
“Seperti negara-negara pengeluar minyak, mereka ada gabungan OPEC (Organisation of Petroleum Exporting Countries) untuk menentukan pengeluaran dan harga minyak mentah di pasaran dunia.
“Kalau pengeluar minyak kelapa sawit tiada organisasi maka apabila berlaku ‘boikot’ Malaysia akan terpaksa menjual sawit ini kepada mana-mana negara yang menawar untuk membelinya dengan harga yang rendah.
“Justeru, Malaysia akan mengalami kehilangan dana dan ini boleh memberi kesan yang buruk kepada ekonomi. Oleh itu, negara ini mesti mula mengorak langkah menubuhkan satu organisasi gabungan untuk disertai oleh negara-negara pengeluar minyak sawit,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Malah menurut Jameson, kekurangan sumber pendapatan dari kelapa sawit menyebabkan pendapatan peneroka Felda merosot teruk dan kesannya mereka menolak Pakatan harapan dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands. Kekurangan hasil minyak sawit ini juga menyebabkan kerajaan sukar mengawal kos sara hidup yang tinggi dialami rakyat.
“Ini adalah di antara beberapa faktor mengapa Kerajaan Malaysia sukar mengawal kos sara hidup yang tinggi sekarang – akibat dari masalah kekurangan dana dalam kantung negara.
“Juga faktor lain yang turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia ialah perang dagangan di antara Amerika Syarikat dan China”, tambahnya.
Jameson berkata, walaupun ekonomi dunia tidak memberangsangkan masa ini, faktor utama mengapa ekonomi Malaysia masih agak lembab ialah hutang negara RM1 trilion yang terlalu besar dan pesalah laku dalam skandal 1MDB yang mengambil masa terlalu lama untuk dibicarakan di mahkamah.
“Selain dari itu, kegagalan mantan Kerajaan BN memulangkan balik wang dari Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST input tax) yang berjumlah RM19 bilion serta wajib dipulangkan kepada golongan usahawan dan pemilik perniagaan adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan perkara ini mampu menjejaskan keyakinan golongan pelabur asing terhadap Malaysia.
“Juga menjejaskan keyakinan berkaitan isu Projek ECRL yang mana kenyataan berbeza di antara Menteri Kewangan dan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi pada minggu lalu adalah sesuatu yang menunjukkan tiada koordinasi dalam pentadbiran.
“Maklumlah Kerajaan PH adalah kerajaan yang baru tetapi semua pihak berharap kelicinan pentadbiran akan dilihat mulai pertengahan tahun ini iaitu setahun selepas PH menjadi Kerajaan Persekutuan,” ujar Jameson lagi.