Rakyat Malaysia berpendapatan rendah yang layak untuk memohon skim Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, akan menikmati lebih potongan harga sehingga akhir Jun tahun ini.
Ia susulan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini bahawa syarikat pemaju yang menyertai skim itu kini menawarkan potongan harga 10 peratus untuk Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign, HOC) 2019.
Kempen itu inisiatif bersama kerajaan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara KN Jayaselan berkata ada sejumlah 3,384 rumah berharga bawah RM150,000 yang masih belum dijual di seluruh negara.
Beliau berkata, rumah itu boleh dibeli oleh mereka yang berminat dengan HOC 2019.
“Seluruh negara, ada sejumlah 16,528 rumah berharga bawah RM150,000. 3,384 daripadanya belum dijual. Ia boleh dibeli melalui kempen ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sidang media pengumuman Lim, hari ini.
Di bawah skim Dana Rumah Mampu Milik, rakyat Malaysia berpendapatan isi rumah RM2,300 dan ke bawah layak mendapat pinjaman dengan kadar pembiayaan maksimum 3.5 peratus setahun, untuk membeli rumah berharga Rm150,000 ke bawah.
Skim ini dilancar Lim pada Selasa lalu, bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah pertama.
Lim berkata banyak rumah berharga RM150,000 ke bawah tidak terjual kerana mereka yang berminat membelinya sukar mendapat pinjaman.
Hari ini, Lim berkata kerajaan juga akan mengecualikan duti setem untuk surat cara pembelian (S&P) dan perjanjian pinjaman bagi rumah berharga sehingga RM1 juta.
Bagi kategori rumah berharga sehingga RM2.5 juta, Lim berkata pembeli perlu membayar tiga peratus duti setem bagi baki RM1.5 juta harga rumah itu.
“Insentif ini satu lagi langkah selepas (kerajaan) mengecualikan SST untuk bahan pembinaan.
“Pemaju juga setuju untuk memberi diskaun minimum 10 peratus bagi rumah baru dalam usaha mengurangkan harga hartanah dan membantu menangani masalah hartanah tidak terjual.
“Ini tidak termasuk rumah yang dikawal harganya, seperti perumahan kos rendah dan sederhana,” katanya lagi. – mkini