Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah meluluskan sebanyak RM2.1 juta bagi tujuan kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih jalan-jalan di sekitar kawasan Bukit Tengah.
Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, kerja-kerja itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Mei hingga September 2019.
“Jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Chiang Heng Kai (RM400,000), Jalan Perindustrian Bukit Minyak 1 (RM300,000), Jalan Pinang (RM300,000), Taman Indrawasih (RM200,000), Taman Kerjasama (RM250,000) dan Taman Pelangi (RM350,000).
“Selain itu, sejumlah RM300,000 turut diketepikan sebagai kegunaan kecemasan dalam kerja-kerja penyelenggaraan longkang,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau berkata demikian selepas mengedarkan buah limau kepada orang ramai sempena Sambutan Tahun Baru Cina di SJK(C) Peng Bin, Bukit Tengah, semalam.