Keputusan PRK Cameron Highlands merupakan peringatan kepada pentadbiran Pakatan Harapan untuk melangkaui mesej urus tadbir yang baik, kata badan pemikir Governance and Political Studies (Cent-GPS).
Badan itu dalam laporan awalnya berkata pengundi yang bergantung kepada harga komoditi tidak mengundi PH kerana masalah kos sara hidup.
“Sebuah kerajaan yang bersih dan bebas rasuah itu memang baik, tetapi kerajaan yang boleh membantu petani dan peneroka ini pada saat memerlukan lebih penting lagi.
“Barangkali dengan (PRK) Cameron Highlands diadakan kurang setahun kemenangan PH (pada pilihan raya umum 2018) ia memberi kelebihan kepada kerajaan, suatu peringatan (wakeup call) yang sangat berguna untuk mula mentadbir,” kata laporan itu.
Cent-GPS memaklumkan pengundi luar bandar cenderung untuk menyokong parti pemerintah kerana janji-janji pembangunan.
Bagaimanapun, keadaan ekonomi meruncing yang dihadapi banyak keluarga menyebabkan mereka tidak mengundi PH.
Laporan itu menjelaskan di bawah pentadbiran lama, peruntukan yang besar disediakan kepada petani, nelayan dan penoreh getah yang menjadi bantuan sara hidup pada masa sukar.
Bantuan sebegitu kurang diberikan di bawah pentadbiran hari ini, diburukkan lagi dengan harga komoditi yang rendah, kata laporan itu lagi.
Buat pertama kali selepas PRU14, PH tewas kepada BN di Cameron Highlands, dengan majoriti 3,238 undi.
Lebih separuh daripada kawasan parlimen itu terdiri daripada orang Melayu dan Orang Asli. Kebanyakan orang Melayu terdiri daripada peneroka Felda yang sangat bergantung dengan minyak sawit.
Menurut laporan Cent-GPS lagi undi popular PH meningkat sebanyak 1.4 peratus, namun walaupun PH berjaya mendapatkan sokongan orang Cina dan India, gabungan itu gagal mencapai sasaran pengundi orang Melayu dan Orang Asli. – mkini