Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak mendengar khabar yang Kabinet akan dirombak selepas Tahun Baharu Cina, atau berita beliau akan digantikan Azmin Ali.
Tambahnya lagi, cadangan sebegitu juga tidak pernah diutarakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tak dengar apa-apa. Tidak ada perkara itu. Awak perlu tanya perdana menteri tapi saya tak dengar apa-apa,” katanya selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia mengeluarkan laporan memetik kandungan sebuah blog, mendakwa Dr Mahathir bersetuju menggantikan Wan Azizah dengan Azmin sebagai timbalan perdana menteri.
Blog tersebut, Anotherbrickinthewall, mendakwa rombakan itu akan berlaku selepas Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, tiada bukti atau sumber diberikan penulis blog itu untuk menyokong dakwaannya.
Azmin baharu sahaja dilantik sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan,
Tahun lepas, Azmin mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR walau diberi cabaran hebat Rafizi Ramli. – TMI