Kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan kewujudan dan peranan yang terdapat pada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sebaliknya peranan KRT akan diselaraskan supaya tidak bertembung dengan fungsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Dalam isu pertembungan antara MPKK dan KRT kita akan cuba atasi dan selaraskan dengan tanggungjawab serta peranan masing-masing.
“KRT tetap ada, cuma kita akan selaraskan peranan mereka supaya dapat beri perkhidmatan yang lebih efisen kepada masyarakat,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian pada majlis penyampaian watikah pelantikan MPKK bagi sesi 2019/2020 untuk kawasan Seberang Perai Tengah, semalam.
Pada majlis itu, beliau mengingatkan semua perwakilan MPKK mengenai tanggungjawab melaksanakan program dan projek di kawasan masing-masing.
Menurutnya, peranan MPKK bukan hanya melibatkan komuniti kampung, malah melangkaui pinggir bandar dan kawasan bandar.
“MPKK adalah perantara di peringkat akar umbi kepada pihak berkuasa dan kerajaan.
“Kena faham hasrat kerajaan dan sampaikan kepada rakyat. Kena pikul tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.