Kerajaan Pulau Pinang memandang serius isu lambakan pekerja warga asing yang menetap di taman-taman perumahan sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebagai mengatasi masalah itu suatu perumahan asrama pekerja warga asing harus diwujudkan bagi menjamin kesejahteraan ramai.
“Memang kita selalu membahaskan isu ini dan mesyuarat exco turut membincangkan perkara sama untuk beri kelulusan kepada satu projek perumahan asrama pekerja di Pulau Pinang.
“Ini adalah satu titik bersejarah untuk meyakinkan pihak kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan bahawa pembangunan ini adalah untuk masa depan kita,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, suatu undang-undang khusus juga perlu diwujudkan kepada pekerja-pekerja berkenaan seperti yang dilaksanakan di Singapura.
“Saya harap kerajaan negeri dan persekutuan dapat bersama-sama buat pembaharuan supaya masalah ini dapat di atasi sebaik mungkin,” katanya.