Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi kerana merasakan Kabinet tidak memadai untuk menangani isu-isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat, kata tokoh wartawan A Kadir Jasin.
Katanya, penubuhan majlis itu secara tersiratnya menggambarkan pengakuan perdana menteri yang jentera sedia khususnya jemaah menteri tidak cukup untuk menangani isu-isu tersebut.
“Kita tidak perlulah berpura-pura kerana hendak menjaga hati sesiapa atau mana-mana pihak.
“Realitinya adalah selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata,” katanya yang menulis pandangan peribadi di blognya hari ini.
“Kita tidak perlu berdolak-dalik bahawa semakin ramai rakyat jelata mula kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota Kabinet dan perkhidmatan awam,” tambah Kadir, yang juga penasihat media kepada perdana menteri.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan sendiri oleh Dr Mahathir.
Ia juga dianggotai beberapa menteri Kabinet, bekas menteri, pakar ekonomi serta wakil industri dan pengguna.
Majlis yang dibentuk sama seperti ketika krisis ekonomi Asia pada akhir 1990-an itu bertujuan untuk merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memastikan pengagihan kekayaan yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Antara isu yang akan diberikan tumpuan termasuk kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.
Dalam kupasannya, Kadir percaya banyak pihak tahu Dr Mahathir sendiri “tidaklah terlalu gembira atau puas hati dengan prestasi anggota Kabinet.”
“Boleh kata setiap kali beliau (Dr Mahathir) bersemuka dengan orang ramai dan wartawan beliau ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri, menteri yang amat jarang melawat rakyat jelata, menteri yang asyik berswafoto (selfie) dengan pegawai-pegawai sendiri, menteri yang susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal-hal peribadi,” katanya.
Kadir mendedahkan pengalamannya melihat sendiri bagaimana menteri disambut “macam raja” oleh pegawai mereka dan dikawal ketat oleh polis sehingga susah hendak didampingi rakyat.
“Kalau setakat hendak disambut dan makan bersama pegawai kanan dari ibu pejabat tak payahlah susah-susah ke luar bandar atau ke rancangan Felda,” katanya.
Kadir juga menyindir sikap dan perangai menteri yang lebih gemar berswafoto selain mempunyai ahli keluarga yang suka menunjuk-nunjukkan kemewahan melancong ke sana sini.
Beliau memberi ingatan, media sosial yang membantu PH menang pilihan raya dan jadi kerajaan, kalau mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan “buat kerja tidak senonoh, tidak cekap dan tidak mesra rakyat”.
Menurut Kadir, hal-hal yang hendak ditangani oleh Majlis Tindakan Ekonomi adalah perkara yang menjadi ujian kepada kerajaan sama ada berjaya atau tidak selepas diberi mandat oleh rakyat.
“Tak guna kita bercakap mengenai hal-hal yang tinggi melangit kalau perkara-perkara asas seperti harga dan bekalan makanan, pengangguran, pengangkutan, pelajaran, kesihatan dan perumahan rakyat jelata tidak ditangani dengan lebih baik daripada ketika kerajaan dahulu,” katanya.
Kadir percaya, rakyat yang sudah mengubah kerajaan pada pilihan raya umum lalu akan mengubahnya sekali lagi jika harapan mereka tidak dipenuhi. – TMI