Meskipun penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih hanya akan berlangsung pada Sabtu 16 Februari ini, namun pelbagai ulasan telah dibuat oleh penganalisis politik berkenaan peluang Pakatan Harapan (PH) mahu pun BN dalam pertarungan yang dijangka 4 penjuru itu.
Seorang pelabur asing dan penganalisis ekonomi, Jameson Tan berpendapat BN mempunyai peluang dalam PRK kali ini. BN dijangka menyediakan beberapa isu berkaitan perkauman dan agama bagi merampas kerusi itu dari tangan PH memandangkan pengundi di Semenyih adalah 68% Melayu.
Menurut beliau, minda pengundi Melayu masih ‘tertutup’ dan hanya kenal warna biru pekat BN. Dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu mereka cuba beralih kepada PH kerana terpengaruh dengan beberapa tawaran menurunkan kos hidup.
Bagaimanapun, kata Jameson, selepas beberapa bulan PH berkuasa dan kos sara hidup masih tinggi maka orang Melayu menganggap PH telah gagal.
Apatah lagi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dituduh lebih memihak kepada kaum Cina berbanding Melayu dalam memberi bantuan, peruntukan dan sebagainya.
“Saya berpendapat sukar untuk mengikis unsur perkauman di hati orang Melayu. Ini bererti kemenangan akan berpihak kepada BN kecuali kalau PH boleh menerangkan mengapa kos sara hidup pada masa ini kekal tinggi.
“Secara ringkasnya kos sara hidup tinggi disebabkan ekonomi lemah. Kelemahan ini akibat skandal 1MDB yang hampir membankrapkan Malaysia.
“Ahli-ahli PH yang berkempen di Semenyih wajar menekan kepada pengundi Melayu bahawa masalah negara adalah disebabkan oleh pentadbiran BN di bawah Perdana Menteri, Najib Razak.
“Secara terus-terang saya katakan ramai pelabur asing berpendapat amat sukar untuk ekonomi Malaysia pulih dalam keadaan hutang RM1 trilion
“Namun kerajaan PH patut diberi peluang memerintah lebih lama sebelum negara melihat kesannya. Tapi kalau BN menang dalam PRU 15 nanti bermakna Malaysia akan berundur ke belakang, bukan bergerak ke depan,” kata Jameson kepada Suara Pakatan Daily.
Namun seorang usahawan, John Choo, 60 tahun, yang menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur tidak bersetuju dengan andaian BN akan menang mudah di Semenyih.
Sebaliknya beliau meramalkan PH mempunyai peluang sekiranya Kerajaan Selangor berjaya menjelaskan dengan sempurna usaha-usaha kerajaan negeri dan pusat membangunkan negara serta bagaimana masyarakat Melayu telah dibantu oleh pentadbiran PH.
“Negeri Selangor sebuah negeri maju dan telah ditadbir dengan baik oleh PH sejak tahun 2008 lagi.
“Oleh itu, saya yakin pengundi Melayu di Selangor akan berpihak kepada PH sebab tiada isu besar atau masalah besar yang sedang dialami dari segi pembangunan di negeri ini,” ujar beliau.