Biar pun Bersatu berhak menerima menjadi ahli 7 wakil rakyat Umno baru-baru ini namun rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) tetap berasa gusar terhadap tindakan itu.
Bagi Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Tanjung Malim, kemasukan pemimpin Umno yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu akan mengurangkan sokongan rakyat terhadap PH.
“Tindakan Bersatu itu amat mengecewakan kerana rakyat telah menolak pemimpin Umno tetapi sekarang mereka masuk Bersatu. Ini bererti ahli-ahli Bersatu ini, yang sudah ditolak rakyat semasa mereka berada dalam Umno, terpaksa diterima oleh penyokong PH sebab sekarang mereka adalah ahli Bersatu,” katanya.
Manakala seorang penganalisis politik, Jameson Tan, pula menganggap tindakan itu tidak wajar kerana perkara yang perlu ditumpukan oleh PH adalah menguatkan ekonomi bukannya kedudukan politik, ketika populariti PH semakin merosot dalam kalangan rakyat
“Langkah Bersatu itu memang mengejutkan sebab pendapat rakan-rakan usahawan yang saya kenali, ahli-ahli dari Umno itu tidak patut diterima masuk sebab umum tahu pentadbiran dan pengurusan koalisi PH sudah baik.
“PH tidak perlu lagi pemimpin-pemimpin dari parti lawan. PH sudah sempurna. Buat apa terima bekas ahli Umno itu?
“Apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PH adalah menguruskan situasi ekonomi negara dan memberi tumpuan penuh kepada isu kos sara hidup, sebab rakyat telah mengeluh dan runsing mengenai perkara ini.
“PH patut memberi perhatian kepada urusan harian negara, bukan sibuk ambil ahli baru dari Umno,” katanya.