Desas-desus mengenai ada pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) merancang untuk mengusul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih diperkatakan di media sosial kerana ia diapi-apikan oleh PAS untuk manfaat parti itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata, PAS sedang mencuba sedaya upaya untuk mengalihkan perhatian daripada dakwaan ia menerima wang dari Umno sebelum ini.
“PAS ini, kita semua tahu mereka mahu alih perhatian daripada pembohongan mereka. Mereka mengaku berbohong, terutamanya tentang menerima wang dari Umno.
“Saya fikir ini adalah taktik terdesak,” kata Lim ketika ditemui pada sambutan Chap Goh Mei anjuran Persatuan Hokkien Klang di ibu pejabat persatuan itu malam ini.
“Hakikat bahawa mereka tidak dapat kemukakan bukti menunjukkan yang ini satu taktik terdesak dan kotor untuk melemahkan keyakinan terhadap Pakatan serta untuk menyelamatkan diri mereka.
“Sehingga ke saat ini, mereka masih belum dapat kemukakan bukti – di mana dan bilakah serta siapakah yang cakap kita mahu usul undi tidak percaya kepada Tun Dr M.”
“Saya nak beritahu bukan hanya DAP tetapi semua parti komponen Pakatan Harapan telah menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Dr Mahathir.
Setiausaha Agung PAs Takiyuddin Hassan pada Ahad lepas memberitahu pemberita di Semenyih dua parti komponen PH merancang untuk mengusul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir dan PAS akan menyokong perdana menteri jika itu berlaku.
Menerusi satu kenyataan semalam, Lim membidas dengan berkata itu adalah tuduhan palsu berserta fitnah.
Mengenai cabaran yang dikemukakan oleh Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi supaya parti-parti komponen PH membenarkan Dr Mahathir memegang jawatan sebagai perdana menteri untuk sepenggal, Lim berkata: “Dia bukan dari Pakatan.”
“Siapa dia untuk mencabar? Saya fikir lebih baik dia beritahu rakyat kenapa PAS berbohong tentang terima duit dari Umno. Kenapa pimpinan PAS terima duit itu.
“Dia mungkin mahu mereka cerita. Saya tak fikir mereka akan yakinkan rakyat. Hanya orang yang taksub saja akan percaya. Mereka sendiri mengaku berbohong sebelum ini dan tidak apa kalau berbohong. Ini yang saya tak faham.
“Saya rasa tak ada ibu bapa yang mahu ajar anak mereka berbohong. Ini bukan salah ibu bapa mereka. Hanya parti yang tidak bermoral saja yang ajar berbohong,” katanya.
Lim juga menepis dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa negara ini dikawal oleh orang bukan Islam di bawah kerajaan PH.
“Ini sama sekali tidak benar. Perdana menteri dan timbalan perdana menteri adalah orang Islam. Semua pasukan keselamatan dipimpin oleh orang Islam, dari angkatan tentera hinggalah polis.
“Saya kesal kerana demi untuk selamatkan diri dan masa depan politik mereka, mereka hasut kebencian terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu.
“Presiden PAS pernah kata orang bukan Islam tidak boleh jadi perdana menteri. Itu jauh tersasar daripada Perlembagaan Persekutuan.” – TMI