Dengan kurang seminggu tarikh mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, ramalan pihak mana yang akan menang masih samar-samar.
Meskipun calon Bersatu, Muhammad Aiman Zainali, dianggap masih terlalu muda dan kurang berpengalaman berbanding calon BN, Zakaria Hanafi, namun berdasarkan faktor pengundi Melayu yang besar, kira-kira 68% maka isu yang meresahkan orang Melayu adalah tumpuan utama.
Bagi penganalisis politik, BN dan Pas tidak semestinya menang berdasarkan kempen isu-isu Melayu, sekiranya kerajaan Selangor mampu menjanjikan penyelesaian kepada masalah semasa kaum Melayu di sana.
Menurut dua pemandu teksi yang ditemui Suara Pakatan Daily, BN mempunyai kelebihan jika penyokong Pas mengundi mereka. Tetapi berdasarkan kontroversi yang melanda Pas dalam kes dana RM90 juta terdapat kemungkinan penyokong parti itu tidak keluar mengundi.
Menurut Hasan, 70 tahun, Bersatu masih mempunyai peluang walaupun Semenyih adalah kubu kuat Umno yang gagal ditawan Pakatan dalam pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013 lalu.
“Bersatu ada peluang menang tetapi berbanding dengan PRU14 pada 9 Mei lalu, kali ini keadaan atas padang adalah lebih sukar untuk mereka.
“Ini kerana sejak PH menang tidak banyak perubahan yang ketara dapat dilihat dari segi harga barang dan kos sara hidup. Walaupun GST sudah dihapuskan, harga barang masih tinggi.
“Selain itu, isu hak Melayu dan manfaat untuk masyarakat Melayu akan menjadi topik utama. Di sini pengundi Melayu akan tanya Kerajaan PH adakah nasib masyarakat Melayu sudah bertambah baik sejak mereka mula mentadbir hingga sekarang,” katanya.
Bagaimanapun menurut Hasan, sekiranya pengundi bijak maka mereka akan terus memberi peluang kepada PH kerana BN telah memerintah lebih 60 tahun tentunya PH memerlukan masa sekurang-kurangnya 5 tahun untuk membawa perubahan yang ketara.
Seorang lagi, Omar dalam usia 40an merasakan sukar untuk meramal siapa yang akan menang di Semenyih.
“Saya harap PH akan menang walaupun prestasi Kerajaan PH tidak berapa baik. Saya rasa PH patut diberi sokongan untuk penggal ini sebab mereka mentadbir belum cukup setahun.
“Namun begitu, Kerajaan Pusat PH patut bekerja dengan lebih gigih lagi untuk menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat. Ekonomi negara bukan pada tahap yang memuaskan.
“Juga masyarakat Melayu hari ini agak kecewa dengan PH dan oleh itu, hujah yang bernas, mantap dan teliti patut diberikan kepada pengundi mengapa mereka perlu sokong PH. Kalau tidak, isu kaum dan agama akan menjadi isu terpenting. Ini akan memudaratkan peluang PH,” katanya.