Selepas 10 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) keadaan hidup rakyat masih tidak banyak berubah. Kos hidup masih tinggi dan kemudahan pengangkutan awam yang dijanjikan akan lebih baik masih belum menunjukkan perubahan.
Bagi seorang penuntut di kolej swasta yang mahu dikenali sebagai Azlan, janji pengangkutan awam lebih baik boleh dipersoalkan kerana perkhidmatannya semakin sukar diakses sesetengah kawasan.
Beliau yang tinggal di Kepong, sekitar Kuala Lumpur misalnya tidak berpuas hati kerana perkhidmatan tren komuter yang sering tergendala dan bas yang sering lambat tiba.
“Saya terus-terang berani kata PH amat lambat melaksanakan perubahan. Saya yang menetap di Taman Sri Bintang, Kepong dan terpaksa menaiki bas dari Isnin ke Jumaat untuk pergi ke kolej swasta di KL kadangkala terpaksa menunggu sehingga 1 jam
“Rakan saya yang menetap di Selayang pun begitu. Juga di Kepong, stesen keretapi hampir tidak berfungsi lagi. Perkhidmatan keretapi komuter yang terakhir ialah pada 7.20 pagi setiap hari.
“Apa makna perkara ini? Bagaimana dengan wargamas yang terpaksa pergi ke KL ambil ubat setiap bulan dan sebagainya?” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau berkata populariti PH dalam kalangan generasi muda merosot dengan teruk sejak kebelakangan ini kerana prestasi yang tidak memuaskan.
“Memang kita patut beri peluang kepada PH sebab mereka kerajaan baru tetapi kalau begini prestasi mereka sampai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya akan undi BN.
“Saya juga tidak puas hati mengenai BSH (Bantuan Sara Hidup) bujang. Kita juga perlukan bantuan kerana kos sara hidup tinggi,” katanya membandingkan jumlah BR1M bujang era Najib sebanyak RM450.
Bagaimanapun rakyat marhaen masih mengharapkan halatuju Kerajaan PH akan bertambah baik setelah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke 8. Namun jika situasi kekal maka kebanyakan rakyat tidak akan lagi mengundi PH.
Seorang warga emas, Steve Mun, 70 tahun berkata beliau malah tidak akan pergi mengundi dalam PRU 15.
“Saya tidak akan mengundi di PRU15 kalau situasi tidak memberangsangkan ini berterusan.
“Saya juga ingin bertanya, bilakah pesalah-laku dalam kes 1MDB akan dipenjarakan? Makin lama keadaan ini tergantung, makin ramai pelabur asing akan rasa ragu-ragu dengan kewibawaan pentadbiran Kerajaan PH,” katanya.