Presiden PKR Anwar Ibrahim sekali lagi menafikan dakwaan PAS bahawa ada usaha membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan mengecam parti itu yang terus membangkitkan perkara itu.
Anwar berkata PAS tidak sepatutnya terus menggunakan nama Islam jika ingin menggunakan politik “untuk gelanggang fitnah dan bohong”.
“Saya nak nasihat, orang Islam tak boleh fitnah. Dia (PAS) boleh bohong, sekarang dia boleh fitnah. Kalau nak guna politik untuk gelanggang fitnah dan bohong, jangan guna nama Islam.
“Dia merosakkan imej Islam atas nama parti agama. Ada orang bukan Islam kata ‘syeikh sekarang boleh bohong, boleh fitnah’.
“Kita boleh berpolitik (tetapi) hentikan politik fitnah dan bohong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Lembah Pantai di Bangsar, hari ini.
Isu undi tidak percaya mula dibuat PAS melalui setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan yang mendakwa ia didalangi dua parti komponen Pakatan Harapan (PH), dan PAS akan menyokong Mahathir jika ia berlaku.
Pada 19 Februari Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa ada pihak dalam PH yang ingkar terhadap Mahathir. Selain membangkitkan dakwaan berkenaan PKR, beliau juga menggesa DAP mengisytiharkan menyokong Mahathir menjadi perdana menteri sehingga PRU ke-15.
Hari ini Muhammad Khalil dalam satu kenyataan menamakan Anwar sebagai dalang terhadap usaha itu.
Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson sekali lagi berkata PAS cuba menggunakan isu itu untuk mengalihkan perhatian daripada dakwaan penerimaan dana RM90 juta daripada Umno yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ditanya adakah beliau menafikan dakwaan PAS itu, Anwar berkata:
“Saya kata (ia) bohong dan fitnah.”
Selain Takiyuddin dan Muhammad Khalil, beberapa lagi pemimpin PAS yang membangkitkan isu undi tidak percaya itu adalah presidennya Abdul Hadi Awang dan Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Aziz.
Pendirian PAS terhadap Dr M kini dilihat berbeza dengan sebelum PRU dahulu, apabila parti itu tampak lebih banyak mengkritik PH dan Mahathir berbanding BN ketika kempen PRU.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya menggesa PH tidak terheret dengan dakwaan itu.
“Jangan terheret dengan mainan politik PAS, khususnya Hadi yang cakap kadang-kadang boleh bohong,” katanya merujuk kenyataan Hadi ketika membela pengakuan Nik Abduh dalam isu rakaman audio berkenaan dakwaan menerima dana Umno.
“Dia (Hadi) nak tutup kes RM90 juta…Kita nak fokus dalam soal pembangunan dan selesaikan masalah ekonomi negara,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa pemimpin utama parti komponen PH menafikan dakwaan undi tidak percaya, antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – mkini