Beberapa kumpulan sivil di Pulau Pinang berkata idea Putrajaya untuk memperkenalkan caj kesesakan di Kuala Lumpur bagi menggantikan kutipan tol adalah satu usaha baik.
Mereka berpendapat langkah mengenakan caj kepada pemandu yang memandu pada waktu puncak adalah bagus kerana ini akan mengurangkan jumlah kereta di jalan raya.
Bekas ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr Lim Mah Hui menyokong langkah tersebut yang menurutnya akan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Dan bagus kalau Pulau Pinang mengikut jejak,” katanya.
Lim yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum berkata caj kesesakan berkesan di negara lain seperti United Kingdom dan Singapura.
Di London misalnya, caj sebanyak £11.50 (RM61.17) sehari dikenakan jika memandu di zon caj antara 7 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat.
“Kajian menunjukkan caj kesesakan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan ketara.
“Jika penduduk Pulau Pinang dicaj sebanyak RM1 hingga RM2, ada orang yang akan ambil keputusan tak mahu memandu,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Idea ini pernah dicadangkan oleh beliau pada 2016 semasa menjadi ahli majlis MBPP tetapi tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli majlis dari parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada minggu lepas mengumumkan Putrajaya sedang berunding dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sstem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
Selepas pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang untuk menggantikan kaedah kutipan tol sedia ada kepada satu kaedah baru dengan kadar lebih rendah.
Kaedah kutipan tol baru itu nanti akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.
Kadar tol akan dimansuhkan sama sekali pada waktu bukan puncak antara 11 malam hingga 5 pagi, manakala bagi waktu biasa, pengguna diberikan diskaun 30% daripada kadar tol sedia ada.
Hasil kutipan caj kesesakan akan digunapakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman, kata Dr Mahathir.
Hasrat kerajaan itu disokong Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, yang menurutnya ia telah diguna pakai oleh banyak bandar moden. Sistem itu juga merupakan usaha untuk mengurangakan kesesakan jalan raya di waktu puncak.
Selain London dan Singapura, San Diego di Amerika Syarikat, Stockholm di Sweden dan Milan di Italy turut mengguna pakai sistem tersebut
Lim berkata caj kesesakan mungkin tidak akan berkesan di Kuala lumpur sekiranya ramai pemandu sudah biasa membayar tol.
“Ia tidak akan membawa banyak perbezaan melainkan pemandu terpaksa membayar lebih berbanding tol sedia ada pada waktu puncak. Kemudian, barulah ia menjadi revolusi,” katanya.
“Hasil kerajaan akan terjejas dengan tiada caj dari 11 malam hingga 5 pagi,” kata beliau.
Caj kesesakan mungkin akan lebih berkesan jika pengangkutan awam lebih murah dan mudah didapati, yang memberi pilihan kepada pengguna jalan raya selain daripada memandu.
Menurutnya, jika pihak berkuasa menyediakan lorong khas untuk bas di lebuh raya dan membenarkan kereta membawa tiga hingga empat penumpang menggunakan lorong sama, ini akan mengurangkan kesesakan di jalan raya.
“Jika dua lorong disediakan khas untuk bas, dan hanya membenarkan kereta dengan tiga hingga empat penumpang berkongsi lorong sama, ini akan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan.
“Lebih ramai orang akan menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kereta, yang mana lebih cepat dan murah.” – TMI