Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih semakin hangat dan masih belum jelas parti mana yang akan menang. Hanya yang pasti peluang kini dianggap sama rata antara Pakatan Harapan (PH) dan BN menjelang hari mengundi 2 Mac 2019.
Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, agak sukar untuk meyakinkan pengundi ketika pembangkang memainkan isu PH tidak menunaikan janji pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu. Menurutnya, kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi janji namun keadaan kewangan masih belum mengizinkan lebih banyak bantuan diberi kepada rakyat.
“Situasi adalah sukar untuk Kerajaan PH sebab negara sedang menanggung beban hutang yang tinggi, berjumlah RM1 trilion. Banyak projek terpaksa dirunding semula atau ditunda.
“Faktor yang penting sekarang rakyat janganlah dibebani sangat. Kerana itu kerajaan PH akan menghapuskan tol tetapi bukan serta-merta. Juga, kita akan berusaha mengawal harga barang yang kita tahu sedang melambung naik.
“Di mana kita boleh menurunkan kos sara hidup, janji kita akan melakukannya. Namun demikian, saya perhatikan pihak lawan terutamanya pemimpin BN sedang ‘menghentam kuat’ Kerajaan PH pasal kos sara hidup
“Tetapi mereka sengaja buat-buat lupa kos sara hidup yang tinggi akibat kegagalan dan kebobrokan pentadbiran era Perdana Menteri, Najib Razak.
“Mereka sebenarnya (secara etika) tidak boleh mengkritik kita kerana kita sedang bertungkus-lumus memperbaiki masalah yang diwujudkan pada zaman Najib,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Dr Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan menegaskan, biarpun rakyat sedang berdepan kos sara hidup yang tinggi namun jika BN menang PRU14 lalu, kos sara hidup pasti akan meningkat berkali-kali ganda berbanding sekarang.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memberi masa dan peluang kepada PH untuk meneruskan pentadbiran kerana bukan mudah untuk memperbaikpulih situasi kewangan dan ekonomi negara setelah skandal 1MDB hampir-hampir memusnahkan ekonomi Malaysia.
Berkenaan PRK Semenyih, Dr. Dzulkefly mengaku mantan Perdana Menteri, Najib Razak nampaknya sedang mengorak langkah menyucikan diri melalui kempen ‘Malu Apa Bossku’.
“Najib telah mengambil kesempatan menyerang PH sekitar kos hidup. Dan kita bagi pihak Kerajaan PH patut menerangkan dengan baik bagaimana masalah ini diwarisi dari BN.
“Justeru, kita patut gigih dengan kempen penerangan. PH mesti menang di Semenyih. Kalau tidak, ia akan memberi gambaran bahawa Kerajaan PH tidak begitu kuat,” tambah Dr. Dzul.