Konvensyen Tanah Rizab Melayu (TRM) 2019 merumuskan sembilan resolusi termasuk menubuhkan Lembaga Nasional Tanah Rizab Melayu bagi menyelaras bentuk penggunaan, mengawal transaksi dan memastikan ia terpelihara daripada penyelewengan, salah guna dan pelupusan.
Resolusi tersebut dibaca oleh Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Zainal Kling dan diserahkan kepada penasihat timbalan perdana menteri, Mohd Salmi Mohd Sohod ketika perasmian penutup TRM di UiTM hari ini untuk diambil tindakan.
Menurut resolusi itu, lembaga tersebut wajar bekerjasama dengan semua badan korporat Melayu, jabatan kerajaan dan lembaga awam lain untuk pembangunan tanah rizab dengan memastikan hak milik, nilai dan manfaat kekal terpelihara bagi kepentingan orang Melayu.
Selain itu, resolusi juga meminta supaya kerajaan negeri melakukan audit tanah rizab untuk memastikan keluasan yang masih ada, status pemilikan dan mengambil kembali tanah rizab yang bertukar tangan secara proksi.
“Kerajaan negeri wajar memastikan semua kawasan tanah rizab yang dibangun dan terlupus daripada status tanah rizab Melayu diganti seperti diperuntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 89,” kata Zainal ketika membacakan resolusi itu.
Resolusi juga meminta supaya kerajaan persekutuan mengkaji pelbagai kaedah lain penggunaan tanah dan pembangunan tanah bagi memastikan pembangunan serta nilai tanah rizab Melayu bertambah dan menjadi tunjang pembangunan bangsa seperti pajakan, “joint venture”, REITs dan sebagainya.
Kerajaan diminta supaya membangunkan prasarana dan kemudahan sosial di sekitar tanah rizab supaya pemilik mendapat manfaat secara langsung ataupun tidak langsung.
Selain Lembaga Nasional Tanah Rizab Melayu, resolusi juga mencadangkan diwujudkan Lembaga Pembangunan Tanah Rizab Melayu dengan peruntukkan modal bagi melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan yang bermanfaat kepada masyarakat Melayu.
Lembaga ini juga akan berperanan sebagai pelindung kepada tanah rizab yang tergadai, terbahagi kecil-kecilan dan terlupus oleh proses pembangunan.
Dalam usaha memeliharan dan memulihara tanah ini, resolusi mencadangkan supaya sebuah Institut Kajian Tanah Rizab Melayu ditubuhkan di UiTM bagi mengkaji, mencadang pelbagai kegunaan dan menyimpan semua bentuk data mengenai tanah rizab Melayu. – TMI