Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti yang pernah dicadangkan biar pun keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.
“Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan klinik kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur dan sesak.
“Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya dipetik FMT.
Bagaimanapun kajian untuk membina hospital tidak dicadangkan berkemungkinan kerana kekalahan Pakatan Harapan di sana.
Sebelum ini, calon PH Muhammad Aiman Zainali dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan oleh masyarakat setempat.
Semalam, keputusan PRK Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan 4 penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780, iaitu dengan majoriti 1,914 undi.
Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).