Setelah 18 hari menunjuk perasaan di Medan Tahrir, Kaherah dan merebak ke Iskandariah, Port Said dan Ismailiyah maka Presiden Mesir Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun terpaksa melarikan diri ke luar negara pada 12 Februari 2011.
Ikrarnya untuk terus memimpin Mesir dan akan mati di Mesir pada hari keempat tunjuk perasaan tidak menjadi kenyataan. Mubarak mungkin mati dalam buangan sekiranya ingin selamat dari perbicaraan menyalah guna kuasa dan saman dari waris ahli keluarga yang hilang dalam tahanan polis rahsia Mesir sepanjang pemerintahannya.
Kejatuhan Mubarak lebih awal berbanding diktator Zine Abidin ben Ali di Tunisia yang menyaksikan tunjuk perasaan selama sebulan pada Disember 2010 lalu. Zine Abidin melarikan diri ke Arab Saudi apabila tentera tidak lagi memihak kepadanya. Sama akibatnya dengan Mubarak apabila jurucakap majlis tentera buat pertama kalinya muncul mengumumkan pada 11 Februari lalu semua tuntutan rakyat akan dipenuhi dan undang-undang darurat akan ditarik balik, maka jelas kuasa telah pun lucut dari tangan Mubarak.
Bagaimanapun apa yang menjadi kebanggaan rakyat Mesir adalah proses penggulingan Mubarak yang penuh dramatik. Tunjuk perasaan besar-besaran mencecah ratusan ribu setiap hari, kesetiaan penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir, polis yang ketakutan tidak muncul selepas hari keempat tunjuk perasaan, bagaimanapun muncul pada hari keenam sebagai penyokong Mubarak membelasah pejuang demokrasi serta askar yang sejak hari pertama diarah mengawal tunjuk perasaan membenarkan rakyat menaiki kereta kebal dan mesra dengan rakyat.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh bekas Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin ketika perhimpunan menyerahkan memorandum anti-Mubarak di Kedutaan Mesir awal bulan lalu, tunjuk perasaan di negara itu akan ada tempiasnya di Malaysia jika kerajaan tidak melakukan perubahan segera terutama terhadap rekod hak asasi manusia.
“Jika penindasan diteruskan. Jika kita tidak banyak ruang lagi. Tolak rakyat ke dinding, rakyat akan bangkit. Saya percaya dan yakin kebangkitan rakyat itu ada riaknya. Di Mesir kebangkitan kelihatan menarik kerana ia tidak diorganisasikan. Tidak ada kumpulan yang betul-betul lead and organize.
“Saya gusar di Malaysia, betul pemerintah meragukan kekuatan PKR, kamu ukur kekuatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Dari segi logistik itulah seadanya. Tetapi jangan perkecilkan kekuatan rakyat tertindas, rakyat akan marah,” katanya.
Bagi Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, apa yang berlaku di Mesir perlu dijadikan iktibar. Oleh itu beliau mengingatkan bahawa BN telah melakukan yang terbaik untuk rakyat melalui konsep rakyat didahulukan.
Namun sejauh mana konsep itu diterima rakyat ia masih kabur. Jika mengikut apa yang berlaklu di Mesir, kebosanan rakyat terhadap kerajaan Mubarak tidak lain kerana korupsi, ekonomi berlegar di kalangan golongan elit, akta tahanan tanpa bicara, tiada kebebasan media dan tiada jaminan hak asasi manusia. Malangnya, dalam semua persoalan itu Malaysia berada pada kedudukan yang hampir sama dengan Mesir dalam indeks penilaian antarabangsa.
Cuma sedikit berbeza, di Malaysia penduduknya berjumlah 27 juta jiwa, tidak seperti Mesir 80 juta orang. Jadi peluang pekerjaan dan peluang untuk mendapatkan kehidupan yang selesa lebih mudah. Namun dengan kenaikan harga minyak dan barangan makanan yang berterusan tidak mustahil keselesaan itu dihakis dengan peningkatan inflasi dan akhirnya rakyat tidak akan merasa nikmat hidup. Malah hidup rakyat sepatutnya lebih baik kerana selain hasil minyak Malaysia juga kaya dengan sumber pertanian seperti getah, kelapa sawit juga kayu balak dan lain-lain. Mesir hanya ada hasil minyak dan kapas, selain itu hanya padang pasir yang terbentang luas.
Oleh itu kerajaan Malaysia sewajarnya belajar untuk tidak menekan rakyat. Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984 yang dijadual akan dipinda pada sessi parlimen Mac ini bagi mengetatkannya meliputi laman web, facebook dan twitter sebaiknya dilupakan sahaja. Rakyat bukan sahaja memberontak jika hidup miskin sebaliknya jika tekanan diberi secara tidak wajar dan tidak beralasan mereka tentunya akan melakukan perlawanan.
Jangan terlalu selesa kerana sempadan Mesir dan Asia barat terlalu jauh dari Malaysia. Diktaktor Indonesia Suharto juga pernah digulingkan dalam tunjuk perasaan berdarah pada Mei 1998 lalu. Arusnya hampir meruntuhkan rejim Mahathir ketika itu dengan siri tunjuk perasaan Reformasi.
Biarpun telah 10 tahun berlalu namun tokoh reformasi, Anwar Ibrahim, gerakannya dan rakyat yang mendukungnya masih di situ. Masih menuntut apa yang dituntut sedekad lalu. Sebagaimana pemerintah Yemen dan Jordan di Asia Barat yang segera mendengar tuntutan rakyat demi menyelamatkan negara mereka, sebaik-baiknya pentadbiran Najib segera mendengar suara rakyat Malaysia yang meminta lebih ruang untuk demokrasi dan menghapus penipuan pilihan raya.